Profesor Dr Md Nasir sebagai CEO FINAS baharu?
2 min read
Sejak semalam viral satu poster pengganti baharu kerusi panas.
Sudah tentu, jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) diintai ramai tidak kira mereka dalam kalangan penggiat industri kreatif, ahli akademik mahupun penjawat awam untuk mencuba nasib.
Merujuk satu poster yang dikongsi menerusi mesej WhatsApp berkumpulan semalam menunjukkan ucapan tahniah kepada Profesor Dr Md Nasir Ibrahim yang dilantik sebagai CEO FINAS yang baharu.
Maklumat dalam poster itu juga menyatakan Dr Md Nasir dilantik ke jawatan tersebut berkuatkuasa 1 November 2021 hingga 30 Oktober 2023.
Bagaimanapun, poster viral itu menjadi isu apabila FINAS sendiri belum lagi mengeluarkan Kenyataan Media secara rasmi mengenai pelantikan atau pengumuman berkenaan.

Dalam satu status di Facebook akaun Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid menjelaskan pihak pengurusan FINAS sedang dalam proses akhir pelantikan CEO baharu.
“Surat tawaran jawatan telah dikeluarkan kepada calon dan kami menunggu maklum balas. FINAS akan mengeluarkan kenyataan rasmi sebaik semua proses pelantikan dimuktamadkan,” katanya hari ini.
Kenyataan Zakaria menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penggiat industri kreatif sama ada berita Dr Md Nasir sebagai CEO FINAS yang baharu adalah benar atau tidak.
Sebagaimana penggiat industri kreatif semua maklum, jawatan CEO FINAS kembali kosong selepas Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri meletakkan jawatan dan bertugas pada hari terakhir 15 Oktober lalu.
Difahamkan jawatan CEO FINAS yang merupakan jawatan secara kontrak selama 2 tahun merupakan lantikan yang dibuat dan dipilih oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia sendiri.
Desas desus mengatakan Dr Md Nasir juga merupakan rakan kepada Tan Sri Annuar Musa. Beliau berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dari Tasmania, Australia dan juga pensyarah di Fakulti Seni Komputeran dan Industri Kreatif Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sama ada benar Dr Md Nasir sebagai CEO FINAS baharu atau tidak, penggiat industri kreatif hanya tunggu dan lihat.
- Kafebuzz.my

