03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Profesor Dr Md Nasir Ibrahim kini CEO FINAS

1 min read

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) memaklumkan pelantikan Profesor Dr Md Nasir Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa pada 1 November 2021 sehingga 30 Oktober 2023.

Merujuk satu kenyataan media Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyatakan pelantikan Dr Md Nasir adalah bagi menggantikan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang berakhir berkuatkuasa 15 Oktober lalu.

Dr Md Nasir berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Seni dari Universiti Tasmania, Australia pada tahun 2008 serta Pasca Kedoktoran dalam bidang yang sama dari Universiti Sheffield Halam, United Kingdom pada tahun 2014.

Beliau mempunyai pengalaman luas dan ketokohan beliau dalam bidang pengurusan industri kreatif serta pembangunan polisi, tadbir urus dan pendidikan dalam seni budaya di peringkat tempatan dan antarabangsa terbukti dengan kecemerlangan menggalas tanggungjawab termasuk sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik di Akademi Seni dan Warisan Budaya (ASWARA) dan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata KKMM yakin kepakaran dan pengalaman luas Dr Md Nasir dalam bidang industri kreatif khususnya seni budaya mampu memacu FINAS sebagai badan peneraju untuk menggalak, memelihara dan menyumbang kepada kemajuan industri perfileman negara.

“Saya percaya sinergi antara beliau dan Ahli-Ahli Perbadanan FINAS akan terus memantapkan hala tuju, perancangan dan pelaksanaan yang lebih komprehensif bagi melonjakkan industri filem serta ekonomi kreatif di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan media tersebut.

Sejurus pelantikan tersebut, Dr Md Nasir turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid di FINAS Hulu Kelang, semalam.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *