Produksi Malaysia dianggap sebagai produksi tempatan Australia – Saifuddin
1 min read
Satu Perjanjian Usaha Sama Penerbitan Filem (Co-Production) antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia berkuatkuasa bermula Julai 2021.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata perjanjian usaha sama ini merupakan antara inisiatif di bawah strategi pembangunan industri perfileman tempatan ke persada antarabangsa yang diterajui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) iaitu agensi di bawah KKMM.
“Perjanjian ini merupakan antara inisiatif berimpak tinggi yang berupaya memajukan sektor industri kreatif tempatan serta membuka lebih banyak peluang dan ruang untuk penggiat industri kreatif menerusi jalinan kerjasama dengan negara Australia,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, melalui perjanjian ini produksi daripada Malaysia akan dianggap sebagai produksi tempatan Australia yang membolehkan karya filem Malaysia menembusi pasaran negara lain yang telah menandatangani perjanjian usaha sama dengan Australia seperti Kanada, China, Singapura, Itali, Jerman dan United Kingdom.
“Perjanjian usaha sama ini juga dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi bagi sektor industri kreatif tempatan serta industri-industri rantaian dan sokongan yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.
“Saya berharap jalinan usaha sama antara kedua-dua negara ini akan terus mengukuhkan perkongsian strategik dalam penerbitan filem, meningkatkan kualiti dan kuantiti penghasilan filem, menggalakkan pembangunan kemahiran terhadap produksi tempatan serta membolehkan pertukaran budaya dan kreativiti penerbitan antara Malaysia dan Australia,” katanya.
- Kafebuzz.my

