02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

“Politik negara hanya stabil jika teras dan tiang seri politik kukuh. Teras itu berpaksikan politik orang Melayu yang mantap” – Annuar Musa

1 min read

Formula untuk menang sangat penting bagi UMNO dalam memastikan parti keramat itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, jika PRU disegerakan dengan tujuan lain hingga membawa padah, ia merupakan tindakan ‘kamikaze’ politik buat UMNO sendiri.

“Kita harus membuat kajian terperinci dan objektif. Data dan hasil penyelidikan yang rapi diperlukan. Kesilapan lampau jangan berulang.

“Politik negara hanya stabil jika teras dan tiang seri politik kukuh. Teras itu berpaksikan politik orang Melayu yang mantap,” katanya menerusi satu status di media sosialnya, Facebook Tan Sri Annuar Musa semalam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) ini turut berkata, strategi musuh adalah untuk melihat politik Melayu lemah.

“Ia lemah bila orang Melayu berpecah. Perpaduan Melayu menjadi teras kekuatan UMNO selama ini.

“Sejak penubuhannya 1946, UMNO adalah tonggak perpaduan orang Melayu yang paling utama. UMNO tidak harus terjun ke PRU tanpa menyempurnakan penyatuan Melayu, apa lagi cuba bergerak solo dalam situasi politik yang sudah banyak berubah,” katanya.

Ujarnya, UMNO perlu memimpin perpaduan dan penyatuan.

“Pendirian PAS harus dilihat secara positif dan terbuka. Strategi PRU15 perlu digarap rapi dan bukan atas dasar emosi, atau kepentingan diri.

“UMNO perlu menang dan terus memimpin. Peranan ini akan hilang dari UMNO jika kita cuba menyendiri dan tidak mengutamakan peranan asas penubuhannya, iaitu sebagai PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *