Perdana Menteri pakai tanjak, FDAM gah di Minggu TVET Negara 2022
3 min read
Aksi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memakai tanjak Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menarik perhatian khalayak baru-baru ini.
Bukan saja Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim (Mat London) bersama Ahli Majlis Kerja (AMK) dan ahli persatuan industri kreatif itu berasa bangga tetapi ramai pengunjung yang berada di reruai FDAM turut bersorak dan bertepuk tangan sejurus Ismail memakai sendiri tanjak istimewa itu.
Tanjak bukan saja menggambarkan pakaian tradisional Melayu tetapi secara tersirat ia melambangkan perjuangan bangsa Melayu yang bersemangat dan utuh seperti mana sifat kepahlawanan Melayu yang ditunjukkan Mat Kilau.
Ismail Sabri berkesempatan singgah ke reruai FDAM pada program Minggu TVET Negara 2022 yang berlangsung di Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Hadir sama, Timbalan Presiden FDAM, Datuk Zulkifli M Osman, Ketua Biro Akademik dan Akreditasi, Azizan Rubaan, Ketua Biro Kesejateraan Sosial, Ahmad Hashim dan Timbalan Ketua Biro Komunikasi dan Media, Elrafaei Sapi.

Mat London menyampaikan tanjak FDAM sebagai menyatakan penghargaan kepada Ismail Sabri atas keprihatinan dan sokongan pemimpin nombor satu negara itu terhadap perjuangan persatuan industri kreatif tempatan.
“Dalam pertemuan singkat itu, Perdana Menteri juga memberikan kata-kata semangat kepada FDAM agar terus memajukan industri perfileman dan kreatif negara. Beliau berkata syabas buat FDAM dan semoga maju jaya,” kata Mat London dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Perdana Menteri berkesempatan beramah mesra dengan AMK dan ahli FDAM yang hadir di reruai FDAM yang merupakan satu-satunya persatuan industri kreatif yang mengambil bahagian dalam pameran dan aktiviti yang dijalankan sempena Minggu TVET Negara 2022.
“Perdana Menteri juga mengucapkan terima kasih kepada FDAM kerana membantu program TVET. Ini menunjukkan sifat prihatin beliau menghargai perjuangan persatuan industri kreatif tempatan seperti FDAM,” katanya.

Pada hari kedua program tersebut, FDAM turut mengadakan sesi Sembang Santai bersama tiga presiden persatuan industri kreatif iaitu Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Salleh bersama Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi dan juga Dr Ahmad sendiri di atas pentas. Reruai FDAM juga menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk singgah.
Pembabitan FDAM dalam program Minggu TVET Negara 2022 kali ini juga diteruskan dengan program Sembang Santai, FDAM Memacu Kreativiti Tanpa Sempadan bersama tiga ahli panel FDAM iaitu Ketua Sekretariat, Mohamad Zaini Hassan berbicara mengenai agenda program Amatur FDAM dan Elrafaei membawa topik Transformasi FDAM Mesra Media, diadakan kelmarin.
Selain itu, FDAM juga menganjurkan sesi uji bakat secara terbuka pada hari ini (23 Jun 2022) manakala satu Perjanjian Sijil Kerjasama (CoC) akan ditanda tangani FDAM bersama Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, esok (24 Jun 2022).





- Kafebuzz.my


