02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Penyuntik modal secara fizikal, KEMASA mahu ubah persepsi negatif beli emas

3 min read

Gah pada jenama, rupanya Kedai Emas Anuar cukup popular dalam kalangan masyarakat Indonesia.

Akui Pengasas Koperasi Eksklusif Emas Anuar Berhad (KEMASA), Mohd Khurulanuar Mhamad Noor, jenama bisnesnya itu dikenali masyarakat negara jiran itu yang menetap di sini dan ia memberi kelebihan padanya untuk membuka 30 cawangan baharu di seluruh negara.

“Sasaran operasi perniagaan bagi cawangan baharu lebih tertumpu di sekitar negeri Semenanjung dan kemudian Sabah dan Sarawak. Menerusi bantuan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), kami juga mempunyai perancangan ke luar negara.

“Pada masa depan, saya seronok masuk pasaran Indonesia sebab Kedai Emas Anuar sudah dikenali dalam kalangan warga Indonesia. Pekerja Indonesia di Malaysia jika nak beli emas, mereka memilih Kedai Emas Anuar. Jadi jika ke sana, Kedai Emas Anuar sudah dikenali,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Koperasi Eksklusif Emas Anuar Berhad (KEMASA) di Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Tun Ahmad Fuzi (dua dari kiri) merasmikan Majlis Pelancaran Koperasi Eksklusif Emas Anuar Berhad (KEMASA). (Foto: KEMASA)

Hadir sama, Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Exco Agroteknolgi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol dan Pengerusi ANGKASA Pulau Pinang, Mohd Jamil Othman.

Menurutnya, pembukaan cawangan seperti di Indonesia bergantung pada kelancaran operasi di sini.

“Jika letak sasaran tapi tak capai, rasa kecewa juga. Jadi kita laksanakan dalam negara sebaik mungkin dengan bantuan pihak ANGKASA, SKM dan pihak YB Fahmi. Saya ingin menjadi contoh koperasi emas sebab koperasi lain yang besar sudah banyak menjadi contoh dan ada label di peringkat antarabangsa seperti Bank Rakyat tetapi koperasi emas tiada lagi.

“Jadi saya mengambil cabaran, insya-Allah kita buat perkara yang fizikal dan betul diharap menjadi ikutan pada yang lain. Kita berharap tiada lagi persepsi negatif apabila mahu membeli emas dan kita nak ubah persepsi itu, insya-Allah,” katanya.

Mohd Khurulanuar Mhamad Noor. (Foto: KEMASA)

Merujuk pada pelaburan emas yang di KEMASA, beliau menjelaskan pihak membuka ruang pada ahli untuk membuat pelaburan termasuk membuka cawangan baharu di seluruh negara.

“Saya lebih suka guna istilah penyuntik modal berbanding pelaburan sebab modal-modal yang disuntik itu adalah ativiti-aktiviti yang dijalankan secara fizikal. Bila sebut pelaburan, luas sangat pandangan orang termasuk aspek digital.

“Kami tidak bekerja sendiri hingga tidak nampak kerana ini adalah perniagaan fizikal. Sejak lebih 20 tahun aktiviti perniagaan ini dijalankan cuma sekarang ia dibesarkan dari aspek tambahan kedai dan pembekal merangkumi 52 kedai di mana 22 kedai sudah dibuka manakala 30 kedai akan dibuka dalam masa terdekat dalam tahun ini dengan nilai pelaburan keseluruhan sebanyak RM87.5 juta,” katanya.

Tun Ahmad Fuzi (kiri) ketika melawat reruai KEMASA. (Foto: KEMASA)

Jelasnya, kelebihan pelaburan KEMASA adalah berdasarkan pengalaman perniagaan mereka selama lebih 20 tahun yang boleh dilihat mewujudkan rasa keterjaminan kerana perniagaan itu wujud sekian lama.

“Meskipun hanya mempunyai kilang kecil tetapi berdasarkan pengalaman kami yang ada, nak buat kilang besar tiada masalah yang dijangka bermula pada April depan. Apabila dah mula kedai emas mesti ‘back up’ ialah kilang dan kita juga bekerjasama dengan lebih banyak untuk kilang yang dijangka siap pada tahun ini di Pulau Pinang,” katanya.

KEMASA mahu membuka 30 cawangan kedai emas baharu. (Foto: KEMASA)

Mohd Khurulanuar berkata, suntikan modal untuk pembinaan kilang memerlukan antara RM100 juta hingga RM150 juta untuk skala biasa bagi menyokong operasi 52 kedai dalam tempoh setahun yang memerlukan kos sebanyak RM200 juta.

“Jumlah pendapatan bergantung pada ekonomi semasa, ketika tahun 2018 dan 2019 sebelum pandemik COVID-19 ia agak tinggi tetapi saya lebih suka merujuk bukan istilah pendapatan sebaliknya urus niaga di mana bagi ketiga-tiga zon untuk 22 kedai emas mencapai hampir RM500 juta.

“Sasaran bagi 52 kedai emas bergantung pada semasa manakala pendapatan tahunan 2024 untuk pulangan hibah 8 hingga 15 peratus insya-Allah tiada masalah, pulangan aktiviti kita jangka minima RM70 juta ke RM75 juta dalam tempoh setahun,” katanya.

Mohd Khurulanuar (kiri) bersama Fahmi Zainol pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Koperasi Eksklusif Emas Anuar Berhad (KEMASA) di Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini. (Foto: KEMASA)

Ujarnya, selain usaha membuka cawangan baharu dan kilang, KEMASA juga mempunyai perancangan membuka premis pajak gadai dan peti simpanan dijangka pada Ogos tahun ini dan juga bank emas pada penghujung tahun 2025.

Tun Ahmad Fuzi (empat dari kiri, duduk) bersama tetamu kehormat dan anggota KEMASA. (Foto: KEMASA)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *