Pengunjung borong jualan Hijjaz Record Publishing
2 min read
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 terus mencuri tumpuan ramai.
Acara tahunan itu bukan saja sekadar aktiviti jualan buku tetapi lebih menarik, ia menjadi platform penggiat seni bertemu pengunjung dengan lebih dekat dan santai.
Bagi mereka yang mencari buku seperti genre agama dan kisah sejarah Islam, boleh singgah ke reruai Hijjaz Records Sdn Bhd (HRSB).
Menurut Pengarah Urusan HRSB, Mohd Faizal Osman, sambutan pengunjung terhadap buku yang dijual sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Tahun ini kami juga menjual lima buku judul baharu bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024. Sebenarnya permintaan terhadap buku masih wujud kerana masih ada sambutan daripada pengunjung.
“Pengunjung akan datang membeli kerana ia berdasarkan sambutan pada penganjuran sebelum ini. Ia memberi keyakinan pada kami untuk terus terbabit dan menjual buku yang diterbitkan di bawah Hijjaz Records Sdn Bhd menerusi Hijjaz Records Publishing,” katanya ketika ditemui Kafebuzz.

Tambah Mohd Faizal yang juga anggota kumpulan nasyid terkenal Hijjaz, banyak sejarah Islam yang sebelum ini tidak ditulis menerusi buku diterbitkan oleh HRSB.
“Buku yang kami jual boleh dikatakan membawa konsep penerbitan buku akhir zaman, konspirasi dan sejarah Islam. Seperti kisah Qaturah yang sebenarnya berasal dari Melayu Champa,” katanya.

Istimewa buat pengunjung PBAKL, HRSB juga tidak ketinggalan menawarkan jualan buku menarik kepada pengunjung iaitu tiga buku dijual pada harga RM100.
“Lazimnya sebuah buku dijual pada harga RM37, RM38 dan RM39. Biasanya sempena pesta buku, pengunjung yang datang akan membeli secara borong.
“Pesta buku seperti PBAKL ini sangat membantu mereka seperti syarikat penerbitan buku untuk menaikkan hasil jualan,” katanya.
Masih berbaki sehari PBAKL, Mohd Faizal mengalukan lebih ramai pengunjung hadir ke reruai HRSB dan membeli bahan bacaan yang berkualiti yang dijual.


- Kafebuzz.my


