03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Pakej Perpaduan Internet Mudah Alih, Hanya bayar RM30 untuk 6 bulan

2 min read

Berita baik buat golongan belia, B40 dan orang kurang upaya (OKU).

Kini, mereka berpeluang menikmati Pakej Perpaduan Internet Mudah Alih hanya RM30 bagi tempoh 6 bulan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, selaras dengan langkah strategik di bawah pelaksanaan Kerangka Malaysia MADANI, pakej prabayar ini menawarkan harga lebih rendah khusus untuk golongan belia, B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Penurunan harga ini meliputi langganan pakej prabayar mudah alih yang disediakan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications. Melalui Pakej Perpaduan, golongan yang berkelayakan boleh menikmati 30GB data berkelajuan 3Mbps dengan hanya perlu membayar RM30 dan ianya sah dalam tempoh enam bulan.

“Pengguna juga boleh membuat isian semula dengan hanya membeli pas Internet sekiranya kuota data 30GB tersebut habis digunakan sebelum tempoh enam bulan,” katanya dalam satu kenyataan selepas merasmikan Prapelancaran Pakej Perpaduan Internet Mudah Alih di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur, semalam.

Fahmi (empat dari kanan) bersama Timbalannya, Teo Nie Ching (tiga dari kanan) dan Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mohammad Mentek (lima dari kanan) bersama-sama melancarkan Pakej Perpaduan Internet Mudah Alih di Kuala Lumpur, semalam. (Foto: Kementerian Komunikasi dan Digital)

Menurutnya, berhubung kesalinghubungan digital menyaksikan sehingga Februari 2023, Parlimen Setiawangsa telah mempunyai 55 stesen pangkalan 5G dan dua daripadanya terletak di PA Desa Rejang.

“Parlimen ini turut mempunyai tiga Pusat Ekonomi Digital (PEDi) masing-masing di PPR Kg. Baru Air Panas, PPR Seri Semarak dan di PA Desa Rejang yang menyediakan pelbagai kursus serta latihan ICT, mengasah kemahiran tentang e-dagang sekali gus membuka peluang menjana pendapatan secara dalam talian.

“Inisiatif yang dilaksanakan oleh KKD dengan kerjasama strategik syarikat penyedia perkhidmatan ini juga sejajar dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup dan memastikan kesalinghubungan digital menyeluruh yang digariskan di bawah kerangka Malaysia MADANI dapat dicapai. Maklumat lanjut berkenaan Pakej Perpaduan Internet Mudah Alih, sila layari laman web rasmi KKD di https://www.kkd.gov.my/,” katanya.

Fahmi (kiri) berbual dengan golongan OKU yang menerima Pakej Perpaduan Internet Mudah Alih. (Foto: Kementerian Komunikasi dan Digital)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *