[Nota Editor] Sudah lama filem Malaysia ‘menderita’, tiba masanya reformasi terhadap LPF
3 min read
Sejak dulu hingga kini, isu Lembaga Penapisan Filem (LPF) tak pernah habis.
Masih ramai tidak berpuas hati dengan tindakan LPF yang berfungsi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan kerja mereka memotong adegan yang dinilai kurang sesuai untuk tontonan masyarakat di negara ini.
Terbaru, filem Harum Malam yang mula menjengah pawagam hari ini turut menerima nasib malang apabila 14 adegan dalam filem arahan Dain Said itu terpaksa disunting semula untuk dikaburkan dan dialog disenyapkan bagi mengikut klasifikasi P13 untuk penonton berusia 13 tahun ke atas.
Dalam laporan media sebelum ini, pengarah filem terkenal yang juga produser Skop Productions Sdn Bhd iaitu Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa kecewa atas tindakan LPF terhadap filem terbaharu terbitan syarikat produksinya itu bersama Apparat dan D’Ayu Pictures.
Menurutnya, mereka terpaksa akur pada syarat LPF apabila mahu menayangkan filem genre seram itu bagi klasifikasi P13 berbanding P18 yang difikirkan boleh hilang penonton.
LPF pada 1 Februari lalu memperkenalkan lima klasifikasi filem Malaysia. Jika sebelum ini filem tempatan hanya mempunyai 3 klasifikasi iaitu U merujuk tonton umum tanpa had umur, P13 bagi penonton bawah usia 13 tahun perlu pengawasan dan bimbingan ibu bapa atau penjaga manakala kategori 18 ialah untuk penonton berusia 18 tahun ke atas.
Bagaimanapun, tambahan 2 lagi klasifikasi baru iaitu P12 terpakai untuk penonton berusia bawah 12 yang memerlukan bimbingan ibu bapa dan P16 merujuk kategori penonton berusia 16 tahun ke atas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan Klasifikasi Filem 2023 ini mengambil kira perkembangan positif selaras dengan keperluan semasa industri perfileman dan penyiaran di negara ini.
“Kementerian Dalam Negeri telah menambahbaik klasifikasi filem sedia ada yang dilaksanakan oleh LPF sejak tahun 2012 dengan memperkenalkan Klasifikasi Filem 2023,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnnya, tiga prinsip diberi keutamaan untuk penentuan klasifikasi filem iaitu memelihara kebebasan penonton dewasa untuk memilih filem yang ingin ditonton; melindungi kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun daripada terdedah dengan kandungan filem yang tidak sesuai dengan peringkat umur mereka serta boleh merosakkan pemikiran dan tingkah laku mereka dan menggalakkan ibu bapa agar lebih bertanggungjawab dalam membimbing anak-anak memilih kandungan filem yang sesuai untuk ditonton.
“Klasifikasi Filem 2023 telah diwartakan melalui Peraturan-Peraturan Penapisan Filem (Pengelasan Filem) 2023 pada 9 Januari 2023. Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri telah menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa Peraturan ini pada 1 Februari 2023,” katanya.
Meskipun dua klasifikasi filem baharu ditambah kepada 3 klasifikasi lama sebelum ini tetapi ia tetap menjadi persoalan di benak pemain industri filem mengenai rasional klasifikasi baharu iaitu P12 dan P16.
Pada Januari lalu, filem terbaharu berjudul Pulau mencetuskan kontroversi apabila dikatakan membawa unsur pornografi selepas trailer filem tersebut viral di media sosial yang sebenarnya menayangkan versi berbeza dengan trailer yang dihantar ke LPF untuk kelulusan. Bagaimanapun, LPF menyatakan kandungan trailer yang ditayang di media sosial itu adalah di luar bidang kuasa LPF.
Bagi menjawab segala persoalan isu penapisan filem tempatan ini, LPF akan mengadakan satu taklimat berkenaan pelaksanaan klasifikasi filem 2023 yang akan diadakan di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang, Selangor jam 2.30 petang ini.
Difahamkan persatuan industri kreatif dan penggiat industri filem juga dipelawa hadir pada sesi taklimat kali ini. Peluang sebegini tidak seharusnya dilepaskan produser mahupun pemain industri filem lain untuk berdialog dan mendapat lebih pemahaman kerja LPF sehingga kini.
Sudah lama filem Malaysia ‘menderita’ akibat tindakan LPF. Sudah tiba masanya reformasi terhadap LPF dilakukan oleh penggiat industri filem sendiri. Inilah masanya semua penggiat industri filem tempatan berkumpul menyatakan pandangan dan melontar soalan kepada LPF.
Apa jua tindakan LPF perlu dinilai semula agar mengikut peredaran zaman yang serba digital apabila platform penstriman over-the-top (OTT) makin berleluasa apatah isu cetak rompak digital masih berlaku.
Mungkin hari ini menjadi satu lagi sejarah baharu buat industri perfileman Malaysia dicatatkan.
Artikel ini ditulis oleh Elrafaei Sapi merupakan penganalisis hiburan, pengamal media profesional yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 20 tahun dan juga Pengasas serta Editor Pengurusan portal berita Kafebuzz.
- Kafebuzz.my



