[Nota Editor] Mat London calon paling layak sebagai Pengerusi FINAS
4 min read
Ada beranggapan industri perfileman tempatan masih di takuk lama. Isu seperti bayaran rendah pekerja industri sama ada pengarah, bukan pelakon utama dan kru produksi bagaikan tiada siapa yang peduli.
Jika mahu industri perfileman itu maju hingga membawa pulangan besar pada negara, ekosistem itu sendiri perlu diperbetulkan lebih-lebih lagi membabitkan pemain industri yang perlu diberi perhatian sewajarnya.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) merupakan agensi kerajaan yang masih mendapat kepercayaan Menteri untuk membangunkan prasarana filem Malaysia. Justeru, pemilihan mereka yang pengetahuan dan pengalaman luas dalam bidang perfileman sangat penting dalam menerajui organisasi tersebut.

Siapa Mat London?
Sehingga kini, jawatan Pengerusi FINAS masih belum diisi sejak hampir 2 bulan lalu. Bagi menggalas tanggungjawab jawatan nombor satu agensi tersebut, individu yang dilantik ke jawatan ini mesti ada banyak pengalaman dalam industri kreatif, pernah menjadi ‘kuli’ di peringkat bawah sehingga menjadi pemimpin persatuan selepas mendapat kepercayaan ramai ahli mengundi.
Bukan hanya glamor duduk sebagai penjawat awam, Pengerusi FINAS perlu bersikap profesional dalam tindakan yang dibuat sama ada berintegriti, berfikiran jauh dan terbuka, mempunyai tahap intelektual tinggi serta paling penting faham isu industri yang membelenggu penggiat seni sejak sekian lama.

Dalam menconggak calon yang layak, kredibiliti Dr Ahmad Ibrahim atau popular digelar Mat London boleh dipertimbangkan. Beliau berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Seni Persembahan pengkhususan Filem dan Televisyen dari Innova University dan pernah menjadi Sarjana Kreatif (pensyarah) di Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) sudah membuktikan kewibawaannya sebagai pemimpin. Namanya bukan hanya gah di Malaysia tetapi terkenal di negara ASEAN seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan Filipina serta mempunyai hubungan baik dengan persatuan perfileman Korea, Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah.
Selain isu kebajikan penggiat seni yang diberi fokus ketika pandemik COVID-19, beliau juga bijak dalam mengatur strategi mendapatkan vaksin COVID-19 secara berkelompok untuk penggiat seni. Sejak awal COVID-19 melanda, beliau melihat betapa penting penggiat seni perlu cepat mendapatkan vaksin sebelum kembali bekerja. Justeru, beliau menerusi hubungan baik dengan rakannya di Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengutuskan surat kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor yang kemudiannya diluluskan untuk pemberian vaksin ini. Usaha ini disambut baik ahli dan bukan ahli yang pantas mendaftar dan kemudian mendapat janji temu untuk suntikan vaksin.

Mat London berjaya membuktikan usahanya bersama FDAM mampu mencapai matlamat yang dirancang tanpa terlalu bergantung pada FINAS. Pengalaman luas Mat London lebih 40 tahun dalam bidang seni sebagai pengarah filem, drama, iklan di peringkat tempatan dan antarabangsa serta bertindak sebagai perunding kreatif memberi kelebihan pada dirinya untuk memegang portfolio Pengerusi FINAS.
Beliau mempunyai semangat seorang pejuang yang sentiasa memikirkan kebajikan dan masa depan penggiat seni serta kepentingan industri kreatif yang menjadi penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Kepakaran dan kepimpinan beliau juga diberi kepercayaan ketika dilantik sebagai perunding media kerajaan, pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah FINAS dan penasihat serta kembali menggalas jawatan Presiden FDAM sejak 2019 hingga kini.

Pelakon popular dengan watak Pak Karim menerusi drama bersiri, Kampong Pisang Bersiri-Siri ini pernah mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa antaranya Pengarah Terbaik Filem Dokumentari Street Musician terbitan British Broadcasting Corporation (BBC), Pengarah Pengiklanan Terbaik Antarabangsa Malaysia, Pengarah Kreatif dan Filem Terbaik Amanah Saham Nasional (ASN) PNB dan Pengarah TV Terbaik (Uzbekistan).
Seperkara yang menarik perhatian pengamal media, beliau seorang yang berani untuk bersuara demi membela hak penggiat seni menerusi kenyataan media yang dikeluarkan bersama FDAM secara konsisten. Malah, beliau disenangi ramai pengamal media atas hubungan baik yang terjalin selama ini.

Bayangkan usahanya bersama Ahli Majlis Kerja (AMK) FDAM mengadakan Majlis Sembang Santai FDAM Bersama Media yang berlangsung pada penghujung tahun lalu berjaya menarik perhatian seramai 30 pengamal media tempatan dari media cetak dan media elektronik termasuk portal berita hadir pada majlis makan-makan itu. Tiada isu kontroversi yang mahu dikongsi sebaliknya hanya merapatkan ukhwah antara beliau bersama FDAM dan pengamal media.
Pada usia 74 tahun, beliau masih berdiri gagah dan bersuara memperjuang isu industri kreatif dan perfileman tempatan. Pengalaman sebagai pensyarah banyak membantunya dijemput sebagai penceramah di pelbagai seminar dan kursus berkaitan industri kreatif dalam dan luar negara. Beliau percaya pemimpin yang disokong ramai perlu menolak kepentingan diri sendiri dan sentiasa berjuang demi anak seni serta industri kreatif tempatan.

Dalam kalangan penggiat seni dan pengamal media, majoriti menyokong Mat London untuk memikul tugas sebagai Pengerusi FINAS.
Sudah tiba masanya Mat London diberi peluang mengetuai agensi kerajaan itu. Sejujurnya, jika ditanya pada mana-mana penggiat seni mengenai ‘siapa Mat London?’ pastinya ramai menyokong dan mengatakan beliau ialah calon paling layak.
Semoga Mat London membawa suatu perubahan baharu pada FINAS dalam memacu industri perfileman dan kreatif tempatan ke arah pencapaian lebih baik secara global.
Artikel ini ditulis oleh Elrafaei Sapi merupakan penganalisis hiburan, pengamal media profesional yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 20 tahun dan juga Pengasas serta Editor Pengurusan portal berita Kafebuzz.
- Kafebuzz.my

