02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

[Nota Editor] Cabaran buat Menteri Komunikasi Digital bekerjasama portal berita dalam talian

2 min read

Pertama sekali tahniah kepada Fahmi Fadzil atas kejayaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu dan paling penting mendapat kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui Kementerian Komunikasi Digital.

Sudah pasti cabaran digalas Fahmi sebagai ‘kepala’ industri hiburan dan kreatif termasuk digital cukup besar apatah lagi untuk memberi fokus dan keutamaan pada agenda yang mahu dilaksanakan di peringkat kementerian. Jika dulu kementerian ini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia tetapi kini ia mengangkat elemen digital yang sangat signifikan dalam kehidupan masyarakat dunia sekarang.

Kecanggihan telefon pintar mengatasi pergerakan fizikal manusia, perkongsian bahan kandungan menerusi platform media sosial, isu rangkaian perkhidmatan telekomunikasi dan isu kawal selia pihak berwajib antara fokus yang tidak boleh dipandang sebelah mata.

Kelmarin, Kementerian Komunikasi Digital mengadakan perbincangan dengan penyedia platform TikTok dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membincangkan kerjasama strategik dalam membendung dan membanteras penyebaran kandungan berunsur provokatif dan bersifat ekstremis ini di media sosial yang menganggu keharmonian pelbagai lapisan masyarakat. Ini satu langkah yang tepat dilakukan Fahmi dan kementeriannya dalam aspek kawal selia media sosial.

Sebelum ini kita mempunyai portal Sebenarnya.my yang memberi penjelasan terhadap berita palsu di media sosial. Bila menyetuh bab media sosial, ia secara langsung merujuk pada kewujudan portal berita yang berfungsi sebagai media elektronik dalam menyampaikan maklumat kepada khalayak.


Sama ada Fahmi sedar atau tidak, bilangan portal berita di negara kita sendiri sudah banyak berbanding agensi akhbar mahupun agensi media kerajaan berdaftar. Nak buka portal berita baru dan ‘menyamar’ sebagai wartawan bukan susah. Tiada siapa yang menghalang untuk sesiapa mencipta portal berita sendiri dan kemudian bergerak seolah-olah individu itu juga wartawan yang mencari bahan berita.

Di sini, peranan Kementerian Komunikasi Digital sangat penting iaitu menyemak latar belakang operasi syarikat atau pengendali portal berita ini dan seterusnya mengemaskini senarai media baharu untuk memudahkan rujukan semua kementerian lain, agensi kerajaan, media dan orang ramai.

Paling mustahak sebagai cadangan portal berita sedia ada ini wajib berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia dan mempunyai Kad Perakuan Media. Penggunaan Kad Perakuan Media ini sangat penting sebagaimana kita mewajibkan setiap rakyat Malaysia mempunyai kad pengenalan.

Justeru, langkah awal Fahmi boleh mengatur pertemuan dengan portal berita secara dalam talian (online) ini menerusi perjumpaan secara berperingkat agar ia menjadi sesi suai kenal dan paling penting, mendapat maklum balas mahupun candangan untuk penambahbaikkan di peringkat kementerian.

Antara usaha dilakukan SKMM mengekang berita palsu.

Jika Perdana Menteri yakin dan percaya kredibiliti Fahmi jadi menteri, begitu juga pengamal media menaruh kepercayaan pada Ahli Parlimen Lembah Pantai ini agar sentiasa berhubung dan mempunyai hubungan baik antara satu sama lain.

Artikel ini ditulis oleh Elrafaei Sapi merupakan pengamal media profesional yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 20 tahun dan juga Pengasas serta Editor Pengurusan portal berita Kafebuzz.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *