[Nota Editor] Beza Mamat Kelajuan dan Mamat Bukit
2 min read
Bila ‘mamat kelajuan’ datang ke sini, keadaan jadi kecoh.
Ada yang menjerit sebab teruja nampak depan mata, ada juga tercenggang dan ramai juga naik menyampah bila tengok seorang mamat kulit hitam dengan gaya poyo berjalan lalu singgah ke pelbagai lokasi.
Pelbagai komen netizen di media sosial. Ada menyatakan komen – keliru dan marah sebab orang berlari nak kejar mamat tersebut sehingga mengabaikan keselamatan orang lain terutama kepada warga emas dan kanak-kanak ketika pempengaruh media sosial itu berada di pusat membeli belah Suria KLCC.
Ada komen juga mengatakan mamat kelajuan yang dikenali sebagai IShowSpeed atau Speed ini sempat bercakap dalam bahasa Malaysia “sabar” kepada peminatnya. Paling banyak komen, siapa mamat ini?
Enam minggu lalu, mamat kelajuan ini memuat naik satu posting di Instagramnya menunjukkan aksi berani mati melompat dua kereta Lamborghini bergerak laju sambil memakai jersi pemain kegemarannya, Christiano Rolando bersama Manchester United. Tanpa sebarang peralatan keselamatan, aksinya itu menyerlah bakatnya untuk dikongsi bersama 24.3 juta pengikut di Instagram dan 3 juta pengikut di platform X.
Speed atau nama sebenar, Darren Jason Watkins Jr, berusia 19 tahun berasal dari Cincinnati, Ohio, Amerika Syarikat mencipta fenomena menerusi kandungan permainan video di YouTube pada tahun 2016. Dia kini dalam siri jelajah ke negara Asia Tenggara selepas singgah Filipina, Vietnam dan Thailand.

Biarpun kedatangan Speed mencetus huru hara sekejap kepada warga kota tetapi ia menunjukkan bahawa populariti boleh membantu seseorang meraih pendapatan dengan cara mudah dan menjadi sehebat artis popular yang dikerumuni ramai peminat.
Aksinya bukan saja menghiburkan pengikutnya tetapi dia juga sempat mempromosikan batik Malaysia, apam balik dan burger tepi jalan.
Di sebalik aksi orang luar ini, timbul tanda tanya siapa pempengaruh tempatan yang setanding Speed yang boleh membuat siri jelajah ke luar negara.
Baru-baru ini, kecoh video aksi pembikin filem kontroversi membuat persembahan jalanan di Bukit Bintang. Lagu merapu berjudul “Bukit” ciptaan artis itu membuatkan khalayak yang hadir termasuk menonton video itu tercenggang.
Jika dibandingkan pencapaian terbaharu daripada dua individu ini, ia sangat jauh berbeza. Mamat kelajuan berjaya meletakkan dirinya pada satu standard lebih tinggi dalam pencapaiannya sebagai pempengaruh media sosial manakala ‘mamat bukit’ entah ke mana perginya.
Zaman kecanggihan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) semakin menguasai kehidupan manusia, kandungan media sosial menjadi strategi penting dalam mempromosi mahupun mendapat perhatian ramai.
Sesiapa saja boleh menjadi seperti Speed jika kreatif dan ada kesungguhan. Hasilnya bukan saja popular tetapi paling penting ‘buat duit’.
Artikel ini ditulis oleh Elrafaei Sapi merupakan perunding media dari Kafebuzz Media, penganalisis hiburan, pengamal media profesional yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan lebih 20 tahun, pernah memenangi pelbagai anugerah kewartawanan dan juga Pengasas serta Editor Pengurusan portal berita Kafebuzz.
- Kafebuzz.my

