NGO sumbang koleksi audiovisual akan diiktiraf sebagai Rakan Perpaduan
2 min read
Tidak ramai yang tahu, orang ramai boleh menyumbang bahan audiovisual kepada kerajaan.
Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang menyarankan masyarakat agar memberi sumbangan bahan audiovisual untuk disimpan dan dipelihara.
“Masyarakat disaran agar dapat berkongsi dan menyumbang bahan koleksi audiovisual kepada Arkib Negara Malaysia (ANM) untuk disimpan dan dipelihara serta boleh dirujuk pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyatan media.
Beliau turut hadir merasmikan Sambutan Hari Warisan Audiovisual Sedunia 2023 yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, aspek menyumbang bahan audiovisual ini sebagai khazanah berharga bukan hanya terhad pada masyarakat malah juga memberi galakan keada badan bukan kerajaan (NGO).
“Mulai tahun hadapan, kesemua pertubuhan badan bukan kerajaan yang menyumbang koleksi audiovisual akan diiktiraf sebagai Rakan Perpaduan,” katanya.
Dalam acara tahunan tersebut, sambutan berkenaan diadakan dengan tujuan menyebar luas kepentingan audiovisual dalam mewujudkan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan warisan audiovisual.

Penganjuran acara ANM ini mengangkat tema Your Window to the World selari dengan inisiatif ‘Ini Warisan Kita’ di bawah Kementerian Perpaduan Negara dalam usaha memelihara dan melestarikan koleksi audiovisual sebagai khazanah negara dalam memupuk perpaduan dan integrasi nasional.
Difahamkan, audiovisual menjadi warisan tidak ternilai yang merupakan penegasan kepada memori kolektif bangsa serta sumber pengetahuan yang amat berharga kerana mencerminkan kepelbagaian bangsa dan sosio budaya dalam masyarakat.

Begitu juga, kandungan maklumat bahan audiovisual adalah pengetahuan yang paling relevan pada masa lalu antara aspirasi dan pengalaman.
“Warisan audiovisual ini diharap menjadi wadah yang memberi impak kepada masyarakat dan generasi muda dalam menerapkan nilai-nilai murni seperti toleransi antara kaum, saling menghormati, prihatin dan bersatu padu selaras dengan hasrat kerajaan membangunkan Malaysia MADANI dan menjadi masyarakat berbudaya tinggi,” katanya.
- Kafebuzz.my

