03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

mySihatPal rapat jurang pesakit dengan pakar perubatan profesional secara maya

4 min read

Segala maklumat di hujung jari.

Kecanggihan teknologi pada masa kini memudahkan pengguna tidak kira di mana saja boleh mengakses maklumat dengan mudah menerusi telefon pintar.

Begitu juga, maklumat berkaitan kesihatan sentiasa menjadi rujukan penting untuk mendapatkan perincian terhadap sesuatu penyakit mahupun cara rawatan yang lebih efektif.

Bagi menyalurkan maklumat berkenaan secara lebih tepat, syarikat antarabangsa biofarmaseutikal iaitu AstraZeneca bersama-sama beberapa persatuan berkaitan kesihatan melancarkan portal kesihatan digital terbaharu dikenali sebagai mySihatPal yang menyediakan akses capaian perkhidmatan kesihatan kepada umum.

Persatuan perubatan yang bekerjasama dalam menjayakan portal ini adalah Asthma Malaysia (AM), Bayi Pramatang Malaysia (BPM), Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM), Persatuan Endokrin & Metabolik Malaysia (MEMS), Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA), Persatuan SLE Malaysia (PSLEM), Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia (MSGH) serta Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Pelancaran portal mySihatPal antara AstraZeneca bersama-sama beberapa persatuan berkaitan kesihatan. (Foto: AstraZeneca Malaysia)

mySihatPal merupakan portal kesihatan yang inovatif serta komprehensif menyediakan akses terus kepada orang ramai dengan pelbagai perkhidmatan daripada maklumat penyakit, kandungan kesihatan, sambungan kepada penyedia kesihatan bersekutu, hospital swasta, klinik penjagaan primer, klinik kerajaan hingga kepada perundingan maya dengan profesional penjagaan kesihatan dan ahli farmasi untuk mendapatkan pandangan pakar bagi memastikan setiap individu mempunyai peluang saksama mencapai tahap kesihatan tertinggi.

Dalam satu kenyataan media, pihak AstraZeneca menyatakan atas permintaan yang semakin meningkat untuk kemajuan dalam penjagaan kesihatan, terdapat keperluan untuk merapatkan jurang antara pesakit dan profesional penjagaan kesihatan melalui pendigitalan.

“Salah satu halangan terbesar kepada kebolehcapaian penjagaan kesihatan ialah kedekatan pesakit dengan lokasi fizikal, menjadikannya perlu untuk mewujudkan portal sehenti untuk menghubungkan orang ramai kepada profesional penjagaan kesihatan untuk mendapatkan nasihat yang berkaitan,” katanya.

Portal mySihatPal menjadi pusat sehenti maklumat berkaitan kesihatan kepada umum. (Foto: AstraZeneca Malaysia)

Tambahnya, portal mySihatPal dapat memenuhi permintaan tersebut dengan mewujudkan pintu masuk untuk orang ramai menjangkau pelbagai komuniti yang merangkumi profesional perubatan, masyarakat dan kemudahan penjagaan kesihatan dalam rangkaian penjagaan kesihatan.

“Selain itu, platform ini menyepadukan cadangan rujukan dengan menghubungkan orang ramai dengan penyedia penjagaan kesihatan bersekutu untuk berunding.

“Tidak dinafikan lagi kepentingan digital dalam perkhidmatan kesihatan. Portal ini juga membantu meningkatkan kesaksamaan akses dalam perkhidmatan kesihatan, di mana masih terdapat jurang semasa pengesanan awal penyakit pada masa ini, ditambah pula dengan jarak lokasi di antara pesakit dan fasiliti kesihatan.

“Seiring dengan kemajuan yang semakin pesat dalam bidang digital kesihatan, portal sehenti seperti ini perlu diwujudkan untuk menghubungkan orang ramai dengan petugas kesihatan supaya mereka berpeluang untuk menjalani konsultasi yang sewajarnya dan pada waktu yang sepatutnya,” katanya.

Vinod Narayanan. (Foto: AstraZeneca Malaysia)

Presiden AstraZeneca Malaysia, Vinod Narayanan berkata, matlamat AstraZeneca adalah berganding bahu dengan pihak dari pelbagai industri dengan tujuan yang sama dalam usaha mempergiatkan kesaksamaan akses digital kesihatan melalui adaptasi teknologi digital di dalam bidang kesihatan di Malaysia.

“Negara-negara lain di seluruh dunia telah pun mengalami anjakan paradigma digital di dalam bidang kesihatan dengan kadar yang agak pesat. Jesteru itu, ianya telah mengubah kaedah pelaksanaan penjagaan kesihatan, mewujudkan norma baharu di dalam penjagaan kesihatan dan membantu meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan lebih optimum.

“Di seluruh dunia, pendigitalan dalam penjagaan kesihatan dengan pantas mengubah cara penjagaan kesihatan disampaikan, mewujudkan anjakan paradigma baharu dalam perjalanan pesakit dan akhirnya, meningkatkan penjagaan kesihatan yang lebih baik,” katanya.

(Dari kiri), Vinod, Dr Haji Helmy dan Dr Thirunavukarasu Rajoo pada sesi soal jawab pada majlis mySihatPal Media Launch di Kuala Lumpur baru-baru ini. (Foto: AstraZeneca Malaysia)

Jelasnya, sebagai syarikat antarabangsa biofarmaseutikal, AstraZeneca berhasrat membantu rakyat Malaysia di dalam mempergiatkan transformasi kesihatan dengan membantu menyediakan pelbagai penyelesaian termasuk penyelesaian digital sebagai langkah untuk menyokong keperluan pesakit, disamping memastikan inovasi kesihatan digital di Malaysia terus berkembang.

“Melalui portal kesihatan digital seperti mySihatPal dapat memberi manfaat kepada orang ramai serta mengambil inisiatif untuk membantu meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang penyakit dengan memastikan bahan rujukan peroleh dari sumber yang dipercayai disamping meningkatkan pendedahan kepada fasiliti kesihatan, seterusnya dapat memastikan penjagaan yang lebih optimum,” katanya.

Melalui portal mySihatPal, ia dapat meningkatkan tahap kesedaran kesihatan kepada orang ramai di mana penyampaian maklumat berkaitan dengan penyakit adalah dalam konteks yang mudah difahami dan diakses.

Pesakit juga berpeluang menjalankan penilaian kendiri mengenai status kesihatan mereka sebelum berhubung dengan petugas kesihatan melalui direktori dalam talian untuk menerima rawatan susulan dan sesi konsultasi.

Aspek penting mySihatPal adalah meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan pesakit dengan memberikan maklumat berkaitan penyakit yang dipermudahkan. Melalui portal ini, orang ramai boleh menikmati autonomi yang lebih besar atas kebimbangan kesihatan mereka sendiri kerana antara muka pengguna direka untuk menyampaikan maklumat yang boleh difahami dan mudah dinavigasi.

Begitu juga, orang ramai juga boleh menjalankan diagnosis kendiri awal mengenai keadaan mereka menggunakan alat penilaian penilaian kendiri, sebelum berhubung dengan profesional penjagaan kesihatan yang berkaitan melalui direktori dalam talian untuk menerima pendekatan rawatan yang betul.

Dr Haji Helmy Haja Mydin. (Foto: AstraZeneca Malaysia)

Portal kesihatan digital boleh dipercayai

Bagi Dr Haji Helmy Haja Mydin iaitu Pengasas Bersama Asthma Malaysia dan selaku wakil persatuan-persatuan, Asthma Malaysia menyokong pembangunan portal kesihatan digital yang komprehensif kerana ianya dapat menyediakan saluran yang boleh dipercayai oleh orang ramai untuk mendapat akses kepada maklumat penjagaan kesihatan dan berhubung terus dengan panel pakar penjagaan kesihatan.

“Lebih penting lagi, dengan mempromosikan akses kepada rawatan dan konsultasi, ia mampu mengurangkan jurang masa yang ketara antara permulaan gejala dan rawatan. Pada dasarnya, maklumat komprehensif portal mySihatPal akan memberi manfaat kepada masyarakat secara amnya melalui peningkatan kesedaran tentang aspek kesihatan,” katanya.

Selain daripada aspek mempertingkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, maklumat kesihatan di dalam portal mySihatPal juga akan dikemaskini secara berkala dengan gabungan informasi video dan artikel bertulis oleh pakar perubatan.

Portal kesihatan digital ini memberi banyak manfaat untuk orang ramai dan pada masa sama AstraZeneca ingin terus meluaskan kumpulan rakan kongsi kesihatan sedia ada di mySihatPal dengan menjemput rakan kongsi lain yang mempunyai matlamat yang sama untuk menyertai gabungan itu dan membantu memajukan penjagaan kesihatan yang saksama di negara ini, dan dapat mengurangkan jurang dalam akses kepada penjagaan kesihatan.

mySihatPal boleh dilayari di laman sesawang https://mySihatPal.com.my/.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *