MIT Pahang 2024 promosi galakan pelancong
2 min read
Penganjuran julung kali Malaysia International Tourism Expo Pahang 2024 (MIT Pahang 2024) mendapat sambutan positif.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, penganjuran ekspo berkonsepkan perniagaan kepada perniagaan (B2B) itu turut memberi manfaat kepada pemain industri terutama tempatan dalam membangunkan sektor pelancongan negara khususnya Pahang.
“Semua organisasi yang mengambil bahagian di MIT Pahang memperoleh ilmu dan manfaat melalui sesi persidangan dan pembentangan yang dianjurkan. Selain berpotensi menarik pemain industri untuk sampai ke Malaysia khususnya Pahang bagi perbincangan, perkongsian idea selain bagaimana membangunkan sektor pelancongan bersama,” katanya pada sidang media sempena pelancaran MIT Pahang 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
Menurutnya, beliau turut meluahkan rasa bangga kerana MIT Pahang 2024 berjaya menarik lebih 200 pempamer daripada 11 negara untuk menyertai pameran pelancongan yang diadakan.
“Kerajaan Negeri Pahang turut mengambil inisiatif menjemput ‘premium buyers’ dari lebih 15 negara yang dipilih daripada betul-betul syarikat pelancongan yang berskala besar dan ada potensi untuk membawa pelancong ke Malaysia.
“Mereka adalah rakan strategik kita yang terdiri daripada 16 negara seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, Kemboja, China, India, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan banyak lagi,” katanya.
MIT Pahang 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 Oktober lalu membawa pelbagai aktiviti yang padat dengan pengisian menarik membabitkan informasi seperti pelancongan, riadah dan kebudayaan.
Sementara itu, Speaker Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata ekspo ini adalah salah satu cara promosi secara sistematik kepada pelancong yang berminat dengan pakej ditawarkan.
“Saya tekankan bahawa kerajaan mesti ada ‘political will’ untuk buat perkara baharu dan untuk terus melaksanakan promosi bagi mengalakkan kedatangan pelancong di negara ini khususnya di Pahang.
“Secara tidak langsung ia memberikan impak pelbagai kepada ekonomi negeri. Hasil daripada kehadiran pelancong dapat memakmurkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi negeri,” katanya yang turut membentangkan kertas kerja bertajuk Balancing The Growth And Sustainability Tourism in Pahang sempena MIT Pahang 2024.
Mohd Sharkar memaklumkan beliau antara beberapa panel menjayakan forum pada ekspo berkenaan memberi penekanan pada tiga faktor penting bagi memajukan sektor pelancongan iaitu jangkaan dikehendaki pelancong, peranan pihak kerajaan dan swasta selain pihak berkepentingan dalam industri pelancongan.
Ujarnya, pihak berkaitan juga harus berusaha mengadakan banyak program baru untuk menarik kehadiran ramai pelancong domestik dan antarabangsa.
- Kafebuzz.my






