Media City ikon penyiaran teknologi digital Malaysia, dikenali Angkasapuri Kota Media
4 min read
Angkasapuri kini berwajah baharu dengan kewujudan Media City.
Bangunan baharu yang membelanjakan kos keseluruhan sebanyak RM860 juta ini dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 26 Oktober lalu.
Apa yang menarik perhatian umum adalah bangunan yang meliputi pejabat dan ruang teknikal seluas 62.027 meter per segi ini turut merangkumi sistem peralatan, teknologi dan pemusatan arkib bahan-bahan penyiaran. Kemudahan 18 tingkat ruang pejabat, auditorium berkapasiti 1,000 penonton, studio rakaman dan latihan muzik, 3 studio TV (M1, M2 dan M3), ruang parkir bertingkat, plaza, garaj kenderaan siaran luar serta kafeteria dan pusat rekreasi.
Ismail Sabri berkata, dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini pembangunan bidang penyiaran di negara ini mengalami pelbagai perubahan dan pembaharuan khususnya berkait dengan medium penyampaian maklumat.
“Platform konvensional dalam bidang penyiaran iaitu radio dan televisyen juga berdepan dengan persaingan sengit yang diberikan oleh platform media baharu. Pada masa yang sama, bilangan syarikat swasta yang memohon lesen pengoperasian ‘content application service provider’ bagi mengendalikan aktiviti sebagai stesen penyiaran radio mahupun TV secara langganan atau percuma juga meningkat.
“Di sebalik persaingan yang semakin pesat ini, Jabatan Penyiaran Malaysia atau RTM kekal sebagai perintis pelopor dan pemangkin kepada pembangunan industri penyiaran negara. Bermula dengan perkhidmatan radio, RTM telah berkembang pesat meliputi TV dan kemudiannya media baharu dengan siaran di laman sesawang dan media sosial serta memperkenalkan perkhidmatan over-the-top atau OTT nya sendiri,” katanya pada Majlis Pelancaran Media City di Angkaspuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa bersama Timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mohammad Mentek serta Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim.

Menurutnya, di bawah teraju Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menyaksikan RTM dan Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga menjayakan projek pendigitalan siaran televisyen yang menyaksikan peralihan siaran analog kepada format digital sepenuhnya.
“Pembangunan Media City merupakan langkah strategik kerajaan untuk merangsang perkembangan dan pembangunan industri penyiaran di negara ini. Saya harap dengan adanya pembangunan ini, langkah-langkah susulan akan dapat dibuat supaya standard penyiaran Malaysia tidak ketinggalan dan setanding dengan standard amalan di rantau ASEAN dan antarabangsa.
“Selain itu peningkatan persaingan dengan bertambahnya penyiar dan pemain industri akan menggalakkan kerjasama yang dapat membangunkan kreativiti dan mewujudkan persaingan sihat dalam penerbitan kandungan,” katanya.

Tambahnya, peranan RTM sebagai media rasmi kerajaan menjadi lebih dinamik berdasarkan teknologi dan kemudahan yang dimilikinya selain menjadi peneraju dan teladan kepada penyiar lain dalam menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat.
“Ini juga meningkatkan keupayaan RTM di peringkat Kebangsaan dan antarabangsa di samping mengekalkan ideologi dan budaya Malaysia seperti peranan yang dipikul oleh penyiar Kebangsaan lain di rantau ini termasuk di Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura.
“Sejak tahun 1968, bangunan Angkasapuri menjadi ikon penyiaran yang tersergam indah di tepi Lebuhraya Persekutuan dan kewujudan bangunan Media City ini akan menambah satu lagi ikon penyiaran iaitu ikon penyiaran teknologi digital Malaysia. Kewujudannya turut menjadi simbolik kejayaan kerjasama strategik sektor awam dengan sektor swasta yang diwakili pembaharuan dan sudut pandang baru RTM iaitu menggerakkan kerjasama ke arah konvensional.
“Simbol ini meletakkan RTM yang baharu pada kedudukan lebih mantap melalui perubahan imej fizikal yang drastik supaya kelihatan segar, moden dan dinamik. Kesemua ini dapat memberi pertimbangan kepada mewujudkan sebuah dasar penyiaran negara yang baharu di mana ia boleh berasaskan dua perkara penting iaitu Keluarga Malaysia dan ‘inclusivity’. Malah, ia boleh digarap menjadi sebuah model penerbitan kandungan Kebangsaan seperti dipelopori Hollywood di Amerika Syarikat, Britsih Broadcasting Corporation ataupun BBC di Eropah dan industri kandungan di Jepun dan Korea yang berpaksikan kepada kebudayaan dan gaya hidup tempatan dengan nilai kebersamaan yang universal ,” katanya.

Ujarnya, pembangunan Media City bukan sesuatu yang dihadkan kepada kewujudan sebuah bangunan secara fizikal sahaja.
“Teknologi yang dibawa bersama pembangunan ini wajib dioptimumkan penggunaannya dalam penghasilan kandungan siaran radio dan televisyen yang lebih jelas di samping menyampaikan maklumat dan hiburan kepada rakyat. Kerajaan akan sentiasa menyokong inisiatif yang bersifat mesra rakyat dan mesra pemegang taruh dalam usaha memenuhi kehendak rakyat dan menyempurnakan amanah rakyat di samping memberi peluang positif kepada negara.
“Rakyat berhak menerima maklumat yang tepat dan sahih sebagaimana dijanjikan oleh RTM selain hiburan yang berkualiti dan tanggungjawab ini wajib disampaikan. Saya berharap Media City pada masa hadapan akan terus dibangunkan menjadi pusat penyiaran negara dengan penyertaan dan kehadiran pelbagai penyiar tempatan di kompleks ini mencontohi Media City di Dubai, UAE; Manchester di United Kingdom; Sdyney, Australia dan Singapura,” katanya.

Ismail Sabri percaya kejayaan Media City ini adalah contoh kejayaan sektor awam dan swasta yang akan diteruskan dengan projek pembangunan lain dalam pelbagai bidang di negara ini bagi memastikan Malaysia membangun dengan jayanya serta memberi manfaat pada semua pihak.
“Saya berharap perasmian Media City dapat membakar semangat kakitangan RTM dan industri kreatif khususnya penyiaran untuk terus menghasilkan kerja berimpak tinggi dan menaikkan martabat kandungan Malaysia ke tahap lebih cemerlang serta berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan Media City dengan nama baharu, Angkasapuri Kota Media.
- Kafebuzz.my

