03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

MCMC pantau 3R, pentadbir portal berita digesa guna kuasa editorial urus komen netizen

2 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan mahupun pandangan berbaur kebencian yang membabitkan elemen perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R merujuk Race, Religion, Royalty) di
media sosial dan aplikasi pemesejan.

Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, peringatan tersebut dibuat susulan beberapa insiden melibatkan elemen 3R yang berlaku semenjak kebelakangan ini yang dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian di dalam negara.

“Ucapan berbaur kebencian merujuk kepada kata-kata ucapan ataupun gambar yang menuduh, merendah-rendahkan nilai seseorang individu atas faktor perkauman, etnik, agama mahupun kewarganegaraan mereka.

“Sehubungan itu, MCMC akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.

Tambahnya, sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang boleh disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diambil terhadap mereka yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan
masyarakat.

Pentadbir portal-portal berita dalam talian, media sosial dan aplikasi pemesejan digesa untuk menggunakan kuasa editorial mereka untuk menguruskan komen-komen daripada netizen di platform mereka. Pihak penyedia platform media sosial pula diminta untuk lebih bertanggungjawab dalam menurunkan kandungan-kandungan berbaur provokatif dan berbahaya apabila dikesan,” katanya.

Orang ramai diingatkan sekiranya terjumpa kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, Institusi Diraja dan perkauman, segera laporkan insiden tersebut kepada MCMC melalui portal Aduan MCMC di pautan berikut https://aduan.skmm.gov.my/; talian aduan: 1800-188-030; WhatsApp di
016 2206 262 dan e-mel di aduanskmm@mcmc.gov.my.

Sebarang maklumat juga boleh disalurkan atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *