McDonald’s Malaysia bersama Astro santuni masyarakat sempena Ramadan melalui McDelivery Berbakti
2 min read
McDonald’s Malaysia bekerjasama dengan Astro menerusi McDelivery Berbakti melaksanakan inisiatif penghantaran makanan dan keperluan harian kepada keluarga asnaf dan petugas barisan hadapan negara sempena Ramadan.
Sepanjang April, McDonald’s dan Astro menyertai program Ziarah Ramadan anjuran Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), di mana 10 keluarga asnaf menerima sumbangan berupa wang tunai, barangan keperluan harian dan hidangan berbuka puasa McDonald’s.
“Bulan suci Ramadan adalah masa untuk bermuhasabah diri dan membantu mereka yang kurang bernasib baik. Dalam mengharungi masa-masa sukar ini, adalah penting bagi McDonald’s sebagai sebuah organisasi untuk mengingatkan masyarakat bahawa mereka tidak bersendirian,” kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar dalam satu kenyataan media.

McDonald’s dan Astro menganjurkan pelbagai aktiviti amal ketika Ramadan antaranya pengagihan makanan kepada 1,000 petugas barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Aktiviti yang dilaksanakan ini turut melibatkan penyanyi dan pengacara, Alif Satar bertujuan menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas dedikasi tidak berbelah bahagi mereka dalam melaksanakan tanggungjawab demi menjaga keselamatan rakyat Malaysia.

Pengarah, Penyelesaian Media, Astro, Wong See Wei pula berkata, Astro sangat berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan McDonald’s di bulan Ramadan ini untuk mendekati masyarakat.
“Di sebalik pelbagai peraturan keselamatan yang ditetapkan, kami gembira dapat menjalankan aktiviti yang dirancang, pada masa sama memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi,” katanya.

Selain daripada kerjasama dengan Astro pada Ramadan kali ini, McDonald’s Malaysia meneruskan tajaan makanan untuk moreh kepada masjid-masjid terpilih di seluruh negara.
Persatuan Kebajikan Ronald McDonald yang merupakan badan kebajikan pilihan McDonald’s turut menganjurkan beberapa sesi berbuka puasa di lima rumah anak yatim di Lembah Klang dan Kelantan, serta menyumbang wang tunai sebanyak RM5,000 kepada setiap rumah anak yatim tersebut.
Mendekati masyarakat merupakan komitmen McDonald’s dalam mewujudkan impak positif dalam kalangan masyarakat. Pada tahun lalu, McDonald’s menganjurkan lebih 7,000 program kemasyarakatan yang telah memberi kegembiraan kepada jutaan rakyat Malaysia.


- Kafebuzz.my

