02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Mawi lincah di padang, Shahril Arsat berjahit kepala

4 min read

Mungkin tidak ramai peminat tahu juara Akademi Fantasia 3 hebat di atas padang.

Berbeza imej botak di awal kemunculannya dalam bidang seni 16 tahun lalu, Mawi yang kini selesa dengan berambut panjang sebenarnya mempunyai bakat terpendam sebagai pemain bola sepak.

Buktinya, pada hujung minggu lalu dia berkesempatan mempamerkan kelincahannya di atas padang ketika beraksi dengan pasukannya, Mawi World FC.

Mawi bersama pemain Mawi World FC bergambar sebelum menaiki bas menuju ke Jengka. (Foto: Kafebuzz)

Pada perlawanan persahabatan menentang Vieura FC itu, Mawi bersama rakan-rakan artis seperti Datuk Fizz Fairuz, pelawak adik-beradik daripada kumpulan Zero iaitu Atu, Sharif dan Syaiful, pelakon Aidil Aziz, komposer Sheikh Qalam, bekas penyampai radio Zayan, Shamsul Q serta bekas pemain Kebangsaan, Shahril Arsat menunjukkan semangat berpasukan tinggi untuk menang.

Rombongan Mawi bersama pemain-pemain pasukannya dari Bandar Baru Bangi dan Kuala Lumpur menaiki bas menuju lokasi perlawanan bola sepak yang diadakan di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, Pahang.

Mawi ketika memberi taklimat pada pemain Mawi World FC di dalam bas. (Foto: Kafebuzz)

Perlawanan yang berlangsung jam 8 malam itu menyaksikan kedua pasukan bertungkus lumus mencari gol dalam suasana hujan lebat. Mawi tampil dalam kesebelasan utama pasukannya bermain penuh bersemangat di bahagian serangan.

Gandingan Mawi bersama Aidil nyata mempunyai keserasian apabila mereka saling menghantar bola sebelum masing-masing cuba membuat serangan ke arah gawang gol pihak lawan. Dalam keadaan basah kuyup, Mawi sempat beraksi dengan cemerlang apabila mengelecek dan mencari ruang untuk membawa bola bagi mengucar-ngacirkan pertahanan pihak lawan.

Mawi bermain dengan penuh gaya seperti pemain profesional. (Foto: Mawi World FC)

Meskipun keputusan memihak pada pihak lawan dengan 5 jaringan tetapi Mawi World FC berjaya mendapat 3 gol. Pujian harus diberikan pada kesemua pemain Mawi World FC yang bersemangat untuk bermain. Jika Aidil beberapa kali membuat percubaan berbahaya hingga mengegarkan tiang gol pasukan lawan, Atu pula mempunyai stamina yang tinggi berlari pantas mematahkan serangan ‘musuh’.

Kelibat Shahril Arsat yang juga bekas pemain legenda Selangor dinanti penonton yang berpeluang hadir ke stadium pada malam itu. Malangnya, Shahril mengalami kecederaan serius di bahagian kepala selepas bertembung dengan pemain lawan hingga memaksa dia menerima jahitan di dahi.

Shahril Arsat terbaring di padang selepas mengalami kecederaan di kepala. (Foto: Kafebuzz)

Mawi berkata, program yang dianjurkan kali ini bukan saja merapatkan silaturrahim antara artis dengan peminat tetapi membantu golongan penggiat seni yang berdepan kesusahan ketika pandemik COVID-19 melanda negara sejak hampir dua tahun lalu.

“Sumbangan ini akan diberikan pada artis yang memerlukan dan kita akan pilih artis yang terjejas. Kita akan beli barang untuk sumbangan ini nanti,” katanya kepada Kafebuzz.

Pasukan Mawi World FC sering melakukan percubaan berbahaya ke gawang lawan. (Foto: Kafebuzz)

Tambahnya, perlawanan persahabatan antara Mawi World FC dengan Vieura FC nampak sengit antara kedua-dua pasukan saling mencari gol kemenangan.

“Perlawanan nampak ‘fight’ walaupun kita buat dalam 3 separuh masa. Cuma pada separuh masa pertama apabila hujan lebat dan air mula bertakung, perlawanan agak terganggu sedikit tetapi hujan itu bukan ketentuan kita, memang dah disusun begitu.

“Bila masuk separuh masa kedua dan ketiga, padang kering baru nampak masing-masing betul-betul dapat bermain,” katanya.

Mawi World FC dan Vieura Group turut memberi sumbangan kepada golongan artis yang memerlukan bantuan. (Foto: Kafebuzz)

Sejurus selesai perlawanan, Mawi mewakili Mawi World FC dan Mawi World Entertainment turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM15,000 untuk golongan penggiat seni yang memerlukan manakala Vieura Group Sdn Bhd juga menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000.

Melihat pada komitmen pada barisan selebriti yang begitu bersemangat untuk bermain pada malam itu, Mawi mengakui peluang untuk berkumpul sama dan melakukan aktiviti bermain bola sepak merupakan aktiviti riadah yang memupuk semangat kesukanan.

“Sudah 2 tahun kita berdepan pandemik hingga dah lama terhenti aktiviti sukan ini semua. Jadi bila dapat berkumpul balik dengan artis-artis ini semua nampak mereka dapat bekerjasama.

“Sebenarnya ramai artis boleh main bola sepak, ada juga tak dapat ikut sebab tak ‘free’, ada ‘shooting’ dan ‘show’. Insha Allah, lepas ni kita mempunyai perancangan untuk bermain di Kuala Lumpur pula,” katanya.

Mawi bersama isteri tersayang, Ekin mengambil inisiatif memberi sumbangan kepada artis yang memerlukan bantuan menerusi perlawanan bola sepak persahabatan. (Foto: Kafebuzz)

Dua jam sebelum perlawanan persahabatan tersebut berlangsung, Mawi bersama pemain-pemain Mawi World FC termasuk Anas Tahir dan Along Cham yang bertindak sebagai pengacara majlis singgah di kedai sukan, Al-Ikhsan Sports di dalam pasar raya Mydin yang menaja baju dan kasut. Menariknya, mereka juga menerima baucar untuk membeli barangan sukan.

Mawi bersama pemain Mawi World FC bergaya dengan barangan tajaan Al-Ikhsan Sports. (Foto: Kafebuzz)
Anas Tahir (kiri) menerima baju tajaan Al-Ikhsan Sports sebelum perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka Pahang. (Foto: Kafebuzz)
Bekas penyampai radio Zayan, Shamsul Q menerima pingat selepas tamat perlawanan. (Foto: Kafebuzz)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *