Mawi Dalam Lautan Manusia, Nasir Jani dan Radhi OAG berkampung di SIBF 2022
2 min read
Jika kucing dikatakan ada 9 nyawa, manusia hanya satu nyawa.
Tapi bagaimana pula rasa apabila manusia itu berasakan nyawa itu sudah di penghujung. Pastinya ia suatu pengalaman hidup yang sukar digambarkan dengan kata-kata sebaliknya ia adalah kisah benar yang ingin disampaikan penyanyi popular, Mawi.
Juara program realiti, Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) ini pernah menghilangkan diri seketika selepas mengecapi kemahsyuran di puncak populariti. Apa yang berlaku sebenarnya, segala jawapan tersebut ada dalam buku autobiografi Mawi Dalam Lautan Manusia.

Bagi peminat dan orang ramai yang ingin mendapatkan buku Mawi Dalam Lautan Manusia terbitan Rabak Lit bersama Kafebuzz Media ini boleh singgah di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 atau Selangor International Book Fair 2022 (SIBF 2022) yang kini berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor.
Pesta buku kali ini menjadi acara tumpuan yang ditunggu-tunggu ramai ulat buku, peminat dan orang ramai dan ia dibuka dari 1 hingga 11 Disember ini.

Bagi menambah keterujaan pengunjung dan mengamatkan suasana, Rabak Lit turut membawakan dua selebriti popular iaitu pengarah filem tersohor, Nasir Jani bersama penyanyi Radhi OAG turun padang bercerita buku tulisan mereka sendiri. Kedua figura ini baru-baru ini berada di pentas utama SIBF 2022 berbicara lanjut topik Lirik Lagu Berhantu!.
Lokasi reruai Rabak Lit terletak di tingkat 2 dan pelbagai buku lain terbitan Rabak Lit juga dijual di reruai Shadani Book Sale di tingkat 1.

Acara SIBF 2022 bukan saja menjadi lokasi wajib dikunjungi orang ramai khususnya pembaca buku tegar tetapi usaha ini juga membangkitkan dan menyemarakkan lagi budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Peluang keemasan ini tidak sepatutnya dilepaskan buat semua pengunjung terutama ibu bapa membawa anak-anak ke sini.
Sudah tentu, masyarakat yang berilmu adalah masyarakat yang banyak membaca. Malah, membaca juga membina kecerdasan otak berfikir daripada perspektif berbeza.
Dapatkan buku Mawi Dalam Lautan Manusia sebagai koleksi peribadi dan kenang-kenangan di acara SIBF 2022 bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor.

- Kafebuzz.my

