Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan filem terbaik Malaysia julang Oscar?
2 min read
Ada tertawa, ada juga menaruh impian dengan penuh semangat.
Persoalan apakah mampu atau layakkah filem Malaysia mencuba nasib di pentas filem antarabangsa, Academy Awards atau Oscar?
Pada edisi Oscar ke-94 yang berlangsung pada Mac lalu menyaksikan filem tempatan, Prebet Sapu (Hail, Driver!) terpilih mewakili Malaysia kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik.
Sebagaimana kita semua tau, pemilihan filem tempatan ke sana dilakukan Jawatankuasa Pemilihan Filem Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dianggotai penggiat industri filem tempatan profesional dan berpengalaman yang menjalankan proses penilaian secara terperinci.
Difahamkan, penilaian berdasarkan aspek penerbitan sesebuah filem iaitu pengarahan, penceritaan, sinematografi, lakon layar, lakonan, adunan bunyi, skor muzik, penataan seni dan suntingan filem.
Sejarah membuktikan Malaysia pernah mencuba nasib sebelum ini menerusi Puteri Gunung Ledang pada tahun 2004, Bunohan (2012) dan Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal (2020).
Projek Road to Oscar masih diteruskan FINAS meskipun ada segelintir penggiat seni yang bersikap sinis terhadap impian tersebut. Salahkah industri filem Malaysia mempunyai sasaran menang anugerah Oscar seperti mana negara mempunyai hala tuju Wawasan 2020 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).
Bulan lalu, filem kerjasama Malaysia dengan Korea Selatan iaitu The Lord Musang King membawa subjek Raja Buah dalam penceritaan dijadikan sandaran untuk melihat filem tempatan berkualiti antarabangsa berpeluang ke Oscar pada masa hadapan.
Berita baik buat produser filem, FINAS mempelawa filem tempatan untuk menyertai Oscar bagi kategori Anugerah Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada tahun ini. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 10 September ini.
Filem mana satu?
Jika dicongak filem tempatan ‘dalam tangan’ yang sudah ditayangkan yang berpotensi membawa nama Malaysia ke Oscar kali ini sudah tentu filem yang bermain di fikiran ramai penggiat seni dan penonton ialah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang kini menembusi 200 pawagam di negara jiran, Indonesia pada 31 Ogos lalu.

Filem arahan Syamsul Yusof ini berjaya membuktikan kisah sejarah tokoh Mat Kilau mampu jadi tarikan penonton ke pawagam. Jika mata pelajaran Sejarah dianggap membosankan di sekolah tetapi Syamsul menjadikan subjek Sejarah sebagai hiburan yang membanggakan hingga penonton sendiri merasai perjuangan pahlawan Tanah Melayu.
Bagi rakyat Malaysia, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan membawa semangat perjuangan dan patriotisme yang sangat kuat.
Begitu juga jika diteliti dari aspek kekuatan filem ini untuk dicalonkan ke Oscar, ‘subject matter’ iaitu sejarah pahlawan tanah Melayu yang lazim digelar sebagai ‘superhero’ dalam filem Barat, memberi kelebihan apatah lagi trek rekod kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman tempatan iaitu RM94.4 juta.
Sama ada filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan akan ke Oscar, ia terpulang pada produser produksi Studio Kembara untuk menghantar penyertaan filem itu ke FINAS.
Bagaimanapun, jika bukan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Malaysia masih mempunyai pelbagai filem genre lain yang boleh disandarkan untuk mewakili negara. Apa yang penting, jangan terlalu awal mengaku kalah dan tidak salah mencuba nasib.
- Kafebuzz.my

