Masa tepat fokus kolaborasi keselamatan siber menerusi AMCC Ke-6
2 min read
Malaysia melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menghargai dan mengalu-alukan sumbangan serta sokongan rakan Dialog Persidangan Menteri ASEAN mengenai Keselamatan Siber (AMCC) bagi mewujudkan mekanisme yang holistik dan lebih terkoordinasi khususnya dalam menjaga keamanan dan kestabilan serta mempromosikan persekitaran siber yang terbuka, stabil serta dapat diakses dengan aman di rantau ini.
Malaysia diwakili Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Khairul Shahril Idrus, memberi penekanan akan kepentingan mekanisme ini sebagai pemangkin menangani cabaran utama dihadapi semua pihak, lebih-lebih lagi dalam era Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang berfungsi sebagai platform pertumbuhan ekonomi digital.
Tambahan pula keadaan pandemik COVID-19 menyebabkan semua negara lebih bergantung pada ICT dalam menjalani aktiviti seharian.
Sehubungan itu, Malaysia berpandangan kini masa yang tepat untuk semua negara anggota agar lebih fokus kepada kolaborasi dalam mewujudkan ruang siber yang selamat melalui perkembangan strategi yang pragmatik agar lebih terjamin, dipercayai dan berdaya tahan serta pada masa sama dapat memupuk kesejahteraan ekonomi dan masyarakat secara amnya.
Kolaborasi serantau ASEAN ini penting agar ancaman siber yang semakin membimbangkan pada masa ini dapat diatasi. Ini selaras dengan tema AMCC pada kali ini iaitu ‘Living with COVID-19 – Reimagining Digital Security Risks and Opportunities.’

AMCC ialah mesyuarat tahunan dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Perhubungan dan Penerangan Singapura (MCI) serta Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) bersempena Singapore International Cyber Week (SICW) yang merupakan wadah bertukar pandangan dan pengalaman mengenai isu-isu utama keselamatan siber, merangkumi ancaman keselamatan siber yang kian berleluasa, serta perundangan, pembinaan kapasiti dan norma-norma menerusi ruangan siber untuk memajukan lagi perbincangan serantau yang dimulakan sejak 2016.
Pada Sesi Utama AMCC, Malaysia membentangkan kemajuan pembangunan draf matriks tindakan bagi ASEAN Plan of Action on the Implementation Norms of Responsible States Behaviour in Cyberspace. Inisiatif pembangunan Pelan Tindakan ini diketuai oleh Malaysia, melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dengan kerjasama Singapura, melalui CSA.
Terdahulu, negara-negara anggota ASEAN menyatakan sokongan terhadap perundangan antarabangsa iaitu norma dan prinsip tanggungjawab tingkah laku negara dalam pengurusan keselamatan siber yang dibincangkan dalam laporan 2015 Group of Governmental Experts on Developments in the Field of Information and Telecommunications in the Context of International Security (UNGGE).
Malaysia akan terus aktif mengambil bahagian dan menyumbang dalam semua inisiatif kolaborasi keselamatan siber serantau.
- Kafebuzz.my

