[Nota Editor] Kongsi nombor telefon bimbit secara terbuka, Selamat Hari Jadi buat Fahmi Fadzil
3 min read
Banyak perkara menarik mengenai Fahmi Fadzil boleh diperkatakan.
Beliau memperlihatkan karakter mudah mesra dengan sesiapa saja dan nampak lebih selesa berkomunikasi secara tidak formal ketika menyampaikan ucapan di atas pentas.
Dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Putrajaya baru-baru ini, Fahmi membuktikan cara beliau sebagai Menteri Komunikasi dan Digital berbeza dengan menteri kementerian itu sebelum ini.
Pertama, dia mengatakan tidak perlu lif yang khusus buatnya ketika sampai ke pejabat. Malah, lebih mesra beliau sendiri mengajak kakitangannya yang ada pada masa beliau sampai ke pejabat supaya naik lif bersama-sama dengannya.
“Jangan takut, saya manusia biasa, saya tak makan orang dan saya tak makan rasuah. Jika ada maklum balas Tuan Puan dengar bagitau saya, sekarang saya dengar maklum balas daripda SB,” katanya yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook, Kementerian Komunikasi dan Digital.
Meskipun riak wajahnya nampak berseloroh tetapi beliau berulang kali mengatakan agar kakitangannya memberikan maklum balas padanya. Beliau juga ‘berjanji’ untuk meluangkan lebih banyak masa di surau dan kafe untuk mendekati kakitangan kementerian itu.
“Saya freshie, saya nak belajar, tolong tegur jika cara jawapan saya di Parlimen. Saya harap kita semua dapat bekerjasama lebih erat.
“Kita takde tempat karaoke kan? ada ke? jangan minta saya menyanyi, dulu saya pernah menyanyi kemudian hujan lebat, saya rasa KSU kaki karaoke,” katanya.

Pada majlis tersebut, Fahmi membuat ‘kejutan’ apabila berkongsi nombor telefon bimbitnya di atas pentas. Selepas beliau sendiri menyebut satu persatu nombor telefonnya, ada kakitangannya sendiri terus menghubunginya dan beliau menunjukkan telefon bimbitnya itu berdering.
Bayangkan seorang Menteri berkongsi nombor telefon peribadinya secara terbuka yang boleh menyebabkan kehidupan sehariannya ‘diganggu’ kakitangan termasuk individu tidak dikenali.
Difahamkan, Fahmi menerima kira-kira 1,000 mesej sehari menerusi aplikasi WhatsApp. Akibat jumlah mesej terlalu banyak itu menyebabkan ramai termasuk bos agensi kerajaan ‘terasa hati’ bila mesej yang dihantar berkali-kali tidak dibalas jejaka berambut putih ini.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, tarikh 3 Februari 2023 bermakna beliau genap 2 bulan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Komunikasi dan Digital. Sehingga kini beliau membuktikan dirinya boleh buat kerja dengan pantas termasuk menyelesaikan isu harga Internet membabitkan pakej perpaduan prabayar mudah alih dan talian tetap.
Masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan Fahmi. Harap-harap Fahmi tidak lupa industri kreatif membabitkan pelbagai isu seperti Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang diperkenalkan Tan Sri Dr Rais Yatim ketika menjadi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dasar Perfileman Negara dan Dasar dan Strategi Pembangunan Industri Muzik Negara yang perlu diperhalusi semula.
Sudah tentu, persatuan-persatuan industri kreatif menunggu sesi perjumpaan bersama menteri termasuk pengamal media bagi media baharu yang sepatutnya diadakan satu perjumpaan bersama dalam mesyuarat atau lebih menarik berbentuk konvensyen atau persidangan media bagi Fahmi sendiri mendapatkan input lebih jelas dan paling penting merapatkan silaturrahim dengan pengamal media. (Baca lagi: [Nota Editor] Cabaran buat Menteri Komunikasi Digital bekerjasama portal berita dalam talian)

Sebagaimana tugasnya sebagai wakil atau jurucakap kerajaan berdepan pengamal media selain menyediakan maklumat terperinci berkaitan aktiviti Kerajaan Perpaduan, cabaran media baharu perlu ditangani Fahmi dengan bijak. Sudah tiba masanya, Fahmi menubuhkan satu jawatankuasa media yang berperanan menyatukan semua media dan lebih penting, memahami peranan setiap agensi media itu sendiri.
Portal hiburan Kafebuzz juga menunggu perjumpaan bersama Fahmi. Apapun selamat hari jadi ke-42 buat Fahmi. Moga diberi kesihatan yang baik dan terus berkhidmat dengan cemerlang.
Artikel ini ditulis oleh Elrafaei Sapi merupakan pengamal media profesional yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 20 tahun dan juga Pengasas serta Editor Pengurusan portal berita Kafebuzz.

- Kafebuzz.my

