03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Kibar Jalur Gemilang tanda solidariti dan sentiasa bersatu padu lawan COVID-19

2 min read

Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini masih mengekalkan tema sama seperti tahun lalu iaitu Malaysia Prihatin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia adalah seiring dengan iltizam dan aspirasi berterusan Kerajaan Perikatan Nasional dalam menyemai rasa cinta semua rakyat kepada negara, selain menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat yang masih memerangi pandemik COVID-19 semenjak lebih setahun yang lalu.

“Saya sedar bahawa kita masih berada dalam tempoh yang agak mencabar susulan wabak COVID-19. Namun saya yakin bahawa saudara dan saudari mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi, dan dapat mengambil iktibar dan aspirasi daripada kepentingan meraikan bulan bersejarah ini yang menyaksikan negara kita mencapai kemerdekaan.

“Kita telah dilahirkan di tanah air ini dan menjadi sebahagian warganegara yang bersumpah setia untuk mempertahankannya sehingga akhir hayat kita,” katanya sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalir Gemilang, semalam.

Menurutnya, semangat juang tinggi pemimpin dan nenek moyang kita dalam menuntut kemerdekaan negara, yang penuh ranjau dan berliku perlu dijadikan iktibar dan memberi inspirasi kepada kita semua.

“Kali ini, kita sedang berperang dengan musuh yang sukar dilihat dan lebih berbahaya. Saya berdoa agar saudara dan saudari akan terus cekal dan dikurniakan kekuatan dalam usaha kita untuk menamatkan wabak COVID-19 ini.

“Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam hati setiap rakyat Malaysia yang mencetuskan solidariti dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang.

“Saya berharap kita dapat bersama-sama menterjemahkan bentuk solidariti itu dengan mengibar megah Jalur Gemilang, sebagai tanda kita sentiasa bersatu-padu dalam melawan pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin setelah 64 tahun negara menikmati kebebasan dan kemerdekaan, amalan mengibar Jalur Gemilang ini sentiasa dibudayakan dalam kehidupan seharian saudara dan saudari tanpa rasa malu dan janggal.

“Saya berharap agar seluruh rakyat Malaysia, daripada penjawat awam di Kementerian dan Agensi, warga sektor swasta dan sesiapa juga akan menyahut seruan Kerajaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dengan
penuh penuh rasa bangga, tertib dan rasa hormat.

“Saya juga berharap agar saudara dan saudari mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman ataupun kenderaan masing-masing. Marilah kita bersama-sama melakukannya demi menzahirkan rasa cinta terhadap negara, diiringi doa dan harapan agar negara akan segera pulih dari wabak COVID-19, dan kita dapat kembali kehidupan normal dan mengecapi kemakmuran bersama.

“Saya percaya melalui semangat cintakan negara yang sentiasa diperteguhkan, kita akan dapat mengekalkan kehidupan yang harmoni, saling mengasihi dan bersatu hati dalam kalangan rakyat meskipun berlainan kaum, agama dan latarbelakang,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *