Khatam Al-Quran Perdana bakal cipta sejarah siaran 12 jam
2 min read
TV AlHijrah mengajak penonton setianya untuk memanfaatkan fasa terakhir Ramadan ini dengan sama-sama mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran menerusi sebuah program khas iaitu Khatam Al-Quran Perdana.
Ia akan disiarkan secara langsung pada Ahad, 27 Ramadan 1442H bersamaan 9 Mei ini membawa penonton bersama-sama bertadarus melengkapkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang bermula pada awal Ramadan lalu.

Program ini diterbitkan sebagai kemuncak kepada kesemua program istimewa Ramadan yang disiarkan di TV AlHijrah dengan mengangkat tema Andai ini Ramadan Terakhir.
Apa yang menarik, program ini dijangka bakal melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya ia akan disiarkan terus menerus selama dua belas jam siaran bermula jam 7 pagi hingga 7 malam.
Paling istimewa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan hadir ke Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah untuk menyertai kemuncak Khatam Al-Quran Perdana yang dijadualkan bermula selepas waktu Asar. Selain sama-sama mengalunkan kalam Ilahi, beliau juga akan menyampaikan tazkirah serta membaca doa kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia.

Program Khatam Al-Quran Perdana ini membariskan gabungan Qari tempatan dan selebriti tanah air dalam mengalunkan bacaan suci al-Quran seperti Sheikh Mahmoud Al-Wosabi, Ustaz Fazrul Ismail, Ustaz Tirmizi Ali, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Nabil Ahmad dan Dr. Ahmad Sanuzi Azmi.
Selain itu, Zizi Kirana, Amie Sofia, Diana Amir, Farah Diana Anuar, PU Rozi Harun, Chef Nabil Salleh turut sama mengambil bahagian.

TV AlHijrah menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk menonton siaran langsung rancangan Khatam Al-Quran Perdana ini. Bagi penonton yang berminat untuk menyumbangkan bacaan, mereka boleh turut serta dalam program ini secara maya menerusi aplikasi Zoom.
Maklumat lanjut tentang penyertaan boleh didapati di laman sesawang TV AlHijrah www.tvalhijrah.com.
- Kafebuzz.my

