03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Kerajaan terus perjuangkan isu royalti artis, Ekspresi@FINAS sukses

3 min read

Isu royalti bagi penggiat seni tanah air terus menjadi fokus kerajaan dalam membantu masa depan golongan itu terjamin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu royalti perlu diteliti semula kerana penting untuk artis-artis tempatan mendapat royalti berterusan dan bukan hanya one-off.

Beliau hadir pada Majlis Penutup Ekspresi@FINAS yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang, Selangor, semalam.

Annuar (dua dari kiri) bersama Ahli Perbadanan FINAS, Datuk A Aida (tengah) berbual dengan produser drama, Fadzil Teh (dua dari kanan) ketika berkunjung ke program Ekspresi@FINAS di Hulu Kelang, Selangor, semalam. (Foto: Kafebuzz)

Tambahnya, impak usaha Kerajaan menarik pelaburan asing turut dapat dilihat melalui data pelaburan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) FINAS berjumlah RM129.7 juta sehingga Ogos 2022.

“Kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mencatat kutipan tertinggi hampir RM100 juta membuktikan kemampuan filem tempatan bersaing dengan filem-filem antarabangsa. Juga disusuli kejayaan filem-filem lain seperti Air Force The Movie dan Abang Long Fadil 3.

“Bajet 2023, sebanyak RM152 juta diperuntukkan kepada FINAS bagi memacu pembangunan industri yang memanfaatkan pelbagai kumpulan pemegang taruh merangkumi pelabur, penerbit, pengedar, pemamer, penyedia perkhidmatan dan tenaga produksi,” katanya dalam akaun media sosial, Instagramnya @ismailsabri60.

Pengunjung berpeluang menyaksikan Majlis Penutup Ekspresi@FINAS menerusi skrin besar di perkarangan Kompleks Studio Merdeka, FINAS. (Foto: Kafebuzz)

Bagi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pula berkata, tiga Indeks Prestasi Utama (KPI) Perancangan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari pertama telah dapat dicapai seratus peratus iaitu membuka semula aktiviti industri kreatif yang memberi manfaat kepada lebih sejuta penggiat industri kreatif, artis dan pekerja melibatkan 19,000 syarikat.

“Pelbagai pelan pembangunan jangka panjang melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang disasarkan untuk meningkatkan sumbangan sektor kreatif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Saya menaruh keyakinan industri kreatif secara amnya dan industri filem khususnya akan terus berkembang sebagai jentera ekonomi kreatif,” katanya dalam satu status di Instagramnya, @annuar.musa56.

Sesi uji bakat lakon antara aktiviti yang menarik perhatian ramai golongan muda yang mempunyai impian menjadi pelakon. (Foto: Kafebuzz)

Annuar juga hadir pada progarm Ekspresi@FINAS semalam bersama Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mohammad Mentek. Hadir sama, Pengerusi FINAS, Senator Datuk Seri Zurainah Musa bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim.

Pada majlis itu yang diadakan di Kompleks Studio Merdeka, Ismail Sabri turut melancarkan Tabung Khas Pembangunan Industri Filem (TAKZIM), menyampaikan Surat Setuju Terima (SST) Dana Filem Cereka dan Mikro serta penyampaian Sijil Ikon Ekspresi Seni kepada 12 penerima antaranya Fauziah Nawi, Erra Fazira, Syamsul Yusof, Janna Nick, Adrian Teh dan Datuk Adi Putra.

Antara peserta yang mencuba nasib pada sesi uji bakat suara di program Ekspresi@FINAS. (Foto: Kafebuzz)

Acara julung kali diadakan itu berjaya menarik ramai pengunjung hadir menyertai pelbagai aktiviti menarik yang diadakan selama dua hari pada 23 dan 24 Oktober 2022 antaranya tayangan filem, sembang skrin, persembahan busker, jom pitch, sesi uji bakat suara (voice over) dan sesi ujibakat lakonan bersama Skop Production, Global Station Sdn Bhd, Orangetree Production dan Zeel Production.

Pengunjung juga berpeluang bergambar dengan selebriti menerusi sesi Meet and Greet bersempena Siri Jelajah Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM32) manakala Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) turut menganjurkan Pameran Hantu Filem dan Pertandingan Solekan Kesan Khas (SFX makeup) serta membuka reruai jualan barangan eksklusif FDAM.

Ekspresi@FINAS dianjurkan selama dua hari bermula 23 hingga 24 Oktober 2022. (Foto: Kafebuzz)
Cabutan bertuah berupa kereta Proton Saga antara tarikan kepada pengunjung pada program Ekspresi@FINAS. (Foto: Kafebuzz)
Reruai pameran turut mengisi aktiviti sepanjang program Ekspresi@FINAS berlangsung. (Foto: Kafebuzz)
Kanak-kanak berpeluang menyertai pertandingan mewarna di program Ekspresi@FINAS. (Foto: Kafebuzz)
Ekspresi@FINAS menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung. (Foto: Kafebuzz)
Pengunjung berpeluang membeli lukisan potret wajah sendiri. (Foto: Kafebuzz)
Sesi bergambar dengan artis antara tumpuan pengunjung program Ekspresi@FINAS. (Foto: Kafebuzz)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *