02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

“Kenyataan hanyalah tinggal kenyataan, atau dengan lain perkataan adalah retorik yang menghiburkan sejenak sebelum mata terpejam!” – Mat London

3 min read

Ketika ini, ramai penggiat seni hidup dalam kedaifan.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Dr Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, saban hari FDAM menerima aduan daripada ahli-ahlinya dan juga ramai penggiat seni lain tentang kepayahan hidup yang mereka alami ketika menghadapi pandemik yang semakin menggila.

“Hidup semakin sukar, tabung simpanan semakin habis tak bersisa, bantuan dari kerajaan hanyalah sekadar pengumuman RM100 juta untuk anak seni yang sehingga kini tiada bayangnya. Kalau sekadar untuk makan minum memang tiada masalah.

“Berpuluh NGO tampil membantu. Tapi sekadar itu sajalah. Susu anak, lampin anak, pinjaman kereta atau motosikal, bil segala macam dan sewa rumah yang lama tertunggak. membungkamkan mereka. Mana nak cekau? Pekerja seni ini majoritinya adalah perkerja bebas, ada kerja ada gaji! Tanpa PERKESO dan tanpa KWSP,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.

FDAM mengambil inisiatif menganjurkan program bakul makanan, ResQ Anak Seni untuk membantu penggiat seni baru-baru ini.

Menurutnya, di saat-saat genting sebegini, FDAM mengharapkan ada perhatian dari pihak kerajaan, terutamanya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Tapi nampaknya FINAS bukanlah satu agensi kerajaan yang memikirkan hal kebajikan anak seni. Mereka lebih sibuk mengaturkan kursus dan bengkel segala macam.

“Mereka lebih sibuk mencaturkan siapa yang layak dan tidak layak untuk masuk MyCAP. Hal kebajikan bukan tugas kami, kata mereka. Di kala ramai penggiat seni yang terkesan teruk dari segi ekonomi, sudah pastilah mereka tiada masa memikirkan tentang bengkel dan kursus itu.

“Mereka lebih memikirkan bila nak kena usir dari rumah sewa? Bila dan kena usir nak angkut anak bini pergi ke mana? Anak kecil yang dah lama menghisap air sirap dalam botol susu ini pula bila akan dapat semula merasai susu?,” katanya.

Tambahnya, bantuan barangan dan agihan daging korban daripada FINAS hanya beri kepada persatuan-persatuan di bawah MyCAP saja yang sebenarnya ditaja pihak lain.

“Jadi agensi mana yang sebenarnya bertanggungjawab memanfaatkan RM100 juta untuk penggiat seni seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri? Apakah para penggiat seni yang jumlahnya puluhan ribu ini perlu pergi ke Baitulmal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat?

“Mereka ini semua adalah rakyat negara ini, yang sama-sama membangunkan negara mengikut bidang masing-masing. Jangan pinggirkan mereka!

“Sepatutnya dalam keadaan genting sebegini, agensi-agensi kerajaan termasuk FINAS perlu membuka mata dan lebih berinisiatif untuk mendahulukan perkara yang lebih afdal buat masa ini, iaitu kebajikan kepada pekerja seni.

“MyCAP kalau penting sangatpun sekalipun, bolehlah ditangguhkan dahulu. Janganlah memberi alasan-alasan dangkal kononnya memberi bantuan kebajikan adalah menyalahi peraturan dan akta FINAS,” katanya.

Mat London (dua dari kanan) bersama Ketua Sekreatariat FDAM, Zaini Hassan (kanan) turun padang membantu ahli FDAM dan penggiat seni bukan ahli yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Mat London juga memberi teguran pada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah agar melihat sendiri rintihan penggiat seni ini.

“Kerajaan juga, khususnya Menteri yang menjaga FINAS, jenguk-jenguklah sikit ke bawah. Jangan main dengar saja laporan daripada pegawai-pegawai. Laporan selalunya cantik molek tetapi tidak menggambarkan situasi sebenar.

“Kami di persatuan yang saban hari berinteraksi dengan ahli-ahli dan juga penggiat seni yang lain lebih mengetahui keadaan sebenar. Separah mana keadaan insan seni ini kami lebih mengetahuinya kerana kami juga adalah sebahagian dari mereka yang turut terkesan.

“Sudahlah hal kebajikan tidak dihiraukan, perancangan untuk memulihkan keadaan insan seni ini yang entah bila boleh mula bekerja juga tidak ada. Kalau sekadar kenyataan yang mereka memandang serius keadaan anak seni menghadapi pandemik ini, tanpa ada tindakan yang benar-benar dilihat dapat membantu keluar dari kemelut ini, kenyataan hanyalah tinggal kenyataan, atau dengan lain perkataan adalah retorik yang menghiburkan sejenak sebelum mata terpejam!,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *