02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Kempen SKUAD DIDIK tarik minat murid jadi wartawan penyiaran

2 min read

Saluran hub pendidikan Malaysia, DidikTV KPM, menerusi platform ntv7 kini memberi peluang kepada murid-murid berusia antara 7 hingga 17 tahun untuk menjadi wartawan penyiaran muda.

Aktiviti menarik ini dianjurkan khas untuk memberi pendedahan awal kepada murid tentang bidang kewartawanan menerusi kempen SKUAD DIDIK.

Menurut Ketua Pegawai Operasi ntv7, Seelan Paul, kempen SKUAD DIDIK ini dihasilkan untuk memberi peluang kepada murid menjadi wartawan cilik dan memberi pendedahan kepada mereka tentang tugasan wartawan yang sebenar.

“Bukan sekadar membaca berita sahaja namun mereka juga perlu mencari bahan berita yang sahih untuk disampaikan kepada penonton. Pada masa yang sama, mereka juga dapat menimba ilmu daripada pengacara, bahagian teknikal mengenai pengendalian kamera dan wartawan kami,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ujarnya, apa yang menarik mengenai kempen ini ialah pelbagai kerenah murid-murid ini menerusi video berpasangan (duet) bersama-sama pengacara sebenar dapat ditonton.

“Situasi ini bukan sahaja menghiburkan malahan kita yang dewasa pun dapat memahami kemahuan dan keperluan anak-anak muda kita yang bakal menerajui negara kita nanti,” katanya.

Kempen SKUAD DIDIK bermula dari 26 November lalu dan akan berakhir pada 21 Disember ini. Pelbagai aktiviti menarik diatur khas buat murid-murid bagi menonjolkan bakat terpendam masing-masing.

“Kami menerima sambutan menggalakkan daripada murid-murid dan setakat ini lebih daripada 100 penyertaan diterima. Menariknya, video cabaran berpasangan ini bukan sahaja diterima daripada murid-murid, malah ia turut menarik minat penglibatan daripada pengguna media sosial lain seperti guru-guru, pempengaruh (influencer), dan personaliti televisyen.

“Ini satu peluang keemasan yang perlu direbut oleh setiap murid kerana dapat membuka mata mereka untuk mengenali dunia kerjaya dengan lebih mendalam,” katanya.

Menerusi kempen SKUAD DIDIK ini, murid-murid dapat mempelajari sedikit sebanyak tentang tugasan seorang wartawan penyiaran. Malah, ia dapat membentuk sahsiah diri, keyakinan diri dan memperbaiki kemahiran berkomunikasi dengan orang sekeliling.

Hanya 10 finalis terbaik bakal dipilih dan berpeluang menyertai Bengkel Latihan di DIDIKTV KPM dan belajar bersama pengacara dan pembaca berita berpengalaman di Rangkaian Televisyen Media Prima.

Murid yang berjaya mengharungi tugasan yang diberi sehingga ke peringkat akhir akan bergelar juara dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500. Tempat kedua bakal menerima wang tunai RM1,000 dan tempat ketiga RM500. Tujuh hadiah saguhati bernilai RM200 bersama produk DIDIKTV KPM.

Syarat pertandingan, ia terbuka pada peserta berusia 7 hingga 17 tahun, berani di depan kamera, duet video SKUAD DIDIK di TikTok rasmi @didiktvofficial atau instagram @nt7Malaysia, durasi video 30 saat untuk 1 skrip seperti format laporan berita dan siarkan video terbaik peserta dengan hashtag #SKUADDIDIK.

Peserta diingatkan memastikan akaun media sosial sendiri dalam mod awam dan hantar pautan bersama butiran peribadi di kod QR atau www.xtra.com.my/skuaddidik .

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *