02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Kempen Parti Beg Plastik Hitam berjaya , perjuangan seni Bell Ngasri berbaloi

2 min read

Siapa yakin Bell Ngasri boleh menang?

Mungkin itu persoalan ramai penonton Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-35 (ABPBH35) sebelum keputusan pemenang anugerah diumumkan.

Bagi aktor berusia 43 tahun itu, dia bijak menggunakan media sosial menerusi akaun @bellngasriofficial di Instagram untuk memancing peminat mengundinya. Hanya kurang seminggu, Bell juga tidak putus asa turun padang bertemu peminat.

Apa yang menarik perhatian khalayak, Bell memuat naik poster berkempen dengan nama Parti Beg Plastik Hitam (BPH) dengan kapsyen Undilah Barkoba.

“Jangan salah faham… saya tak pernah paksa pun orang mengundi saya… saya tak tipu.. tapi diorang tanya macamana nak mengundi, saya pun ajar la, takkan itupun salah saya,” katanya dalam satu status sebelum ini.

Bell berjaya meraih dua anugerah ABPBH35, malam tadi. (Foto: @bellngasriofficial Instagram)

Malam tadi bertempat di Istana Budaya, Kuala Lumpur, nama Bell diumumkan sebagai pemenang Anugerah Artis Komedi Popular dan paling gah apabila namanya sekali lagi dipilih majoriti peminat untuk meraih Anugerah Bintang Paling Popular.

Kemenangan Bell yang cukup popular dengan watak Barkoba menerusi telefilem bersiri arahan Allahyarham Mamat Khalid menggamatkan suasana di panggung sari tersebut dengan sorakan Yak Yak Yeay.

Bell berkongsi kenangan manis bersama keluarganya. (Foto: @bellngasriofficial Instagram)

Perjuangan Bell sebagai anak seni selama 37 tahun berbaloi dengan kemenangan dua anugerah tersebut. Pertama kali tercalon dalam majlis anugerah berprestij tahunan itu, ramai rakan artis termasuk netizen mengucapkan komen tahniah dan mengatakan Bell sememangnya layak menang berdasarkan pengalaman seni dimilikinya itu.

“Syukur ke hadrat Allah atas kemenangan ini. Terima kasih buat seluruh rakyat Malaysia yang menghargai saya.

“Hadiah ini untuk anda semua… terima kasih kerana bagi saya kenangan ini yang takkan dapat saya lupakan sampai akhir hayat saya… saya sayang anda semua!!! amin,” katanya.

Kejayaan Bell turut diraikan bersama pengurusan kanan Media Prima dan Berita Harian. (Foto: @bellngasriofficial Instagram)

Seniwati tersohor, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Kak Ogy menyifatkan Bell mempunyai bakat seni anugerah Allah apabila menang dua anugerah tersebut.

“Sudah tertulis anugerah ini buat Bell. Kakak gembira sangat dengan kemenangan Bell ini. Teruskan perjuangan Bell.

“Bell memang diberikan bakat anugerah Allah. Alhamdulillah, amin,” katanya menerusi komen di status Bell.

Bell memuat naik poster berkempen untuk ABPBH35. (Foto: @bellngasriofficial Instagram)

Begitu juga, rakan artis iaitu Rosnah Johari turut memberikan komen terhadap kemenangan Bell membuktikan ramai rakyat Malaysia sayangkan pelakon itu.

“Salah satu sebabnya Bell tak sombong. Sentiasa merendah diri, tahniah Bell,” katanya.

Bell atau nama sebenar, Nasrizal Ngasri juga membuktikan pencapaian sebagai anak seni hampir 4 dekad lebih hebat daripada bakat baharu. Malah, hanya mempunyai 785,000 pengikut di Instagram, Bell mengatasi populariti artis muda dan pempengaruh yang sering menjadi pilihan utama stesen TV kerana jumlah pengikut yang ramai.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *