02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

“Keluarga FINAS adalah keluarga saya, Insha Allah perjalanan kita bersama adalah perjalanan yang amat menyeronokkan sekali” – Zurainah Musa

2 min read

Senator Datuk Seri Zurainah Musa menyifatkan kehadirannya di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai sebuah keluarga.

Zurainah dilantik sebagai Pengerusi FINAS yang baharu menggantikan Zakaria Abdul Hamid yang tamat perkhidmatan pada 22 Mei lalu. Pelantikan beliau diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM), Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan media pada 10 Jun lalu.

Pelantikan Pengerusi FINAS itu selaras dengan Seksyen 4(1) Akta 244 – Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Pindaan 2013) bagi maksud melaksanakan fungsi-fungsi sepertimana yang diperuntukkan di bawah Akta tersebut. Pelantikan tersebut berkuat kuasa pada 10 Jun 2022 bagi tempoh dua tahun iaitu sehingga 9 Jun 2024.

Zurainah merupakan Ahli Dewan Negara, juga ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Ahli Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad dan mengetuai Jabatan Hubungan Strategik Berjaya Corporation serta menjadi pengarah kepada sejumlah anak syarikat Berjaya Assets Berhad.

Beliau juga pengarah di dalam Kumpulan UZMA dan turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Ahli Lembaga Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dan Penasihat Persatuan Ibu Tunggal, Warga Emas dan OKU (PRIMAS).

Dr Md Nasir (dua dari kanan) menyambut kehadiran Zurainah (kanan) di FINAS, Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini. (Foto: FINAS)

Dalam satu rakaman video FINAS yang dimuat naik menerusi media sosial baru-baru ini, Zurainah menyatakan perasaan bersyukur atas pelantikannya sebagai Pengerusi FINAS.

“Pertama kali saya bersyukur dan terperanjat sebab tak disangka dan tak dijangka saya dapat panggilan dari pejabat Yang Berhormat Menteri untuk berjumpa.

“Bila saya pergi, beliau memaklumkan pada saya, saya terperanjat tetapi amat bersyukur. Staf kita adalah keluarga kita dan amanat daripada Perdana Menteri, beliau mengutamakan Keluarga Malaysia. Jadi, bagi saya keluarga FINAS adalah keluarga saya dan insha Allah perjalanan kita bersama adalah perjalanan yang amat ‘exciting’ sekali dan saya perlu keluarga saya bersama-sama saya, kita bekerjasama untuk matlamat satu saja iaitu memajukan industri perfileman dan industri kreatif tanah air kita,” katanya.

Zurainah mempengerusi mesyuarat bersama kakitangan pengurusan tertinggi FINAS. (Foto: FINAS)

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim menyatakan latar berlakang Zurainah yang sangat hebat dan kekuatan ada pada pengerusi baharu itu dapat bersama-sama menggembeling tenaga membangunkan industri kreatif.

“Saya rasa gabungan saya dengan pengerusi baru ini akan membentuk satu gabungan yang mantap kerana kami mempunyai persamaan dari segi misi kami iaitu untuk memartabatkan bidang filem.

“Pengalaman yang ada pada pengerusi dari konteks pemasaran akan menjadikan FINAS lebih mantap, insha Allah kita doakan yang terbaik dan saya yakin ahli keluarga FINAS akan memberikan kerjasama yang sebaik-baiknya kepada pengerusi,” katanya.

Dr Md Nasir (kanan) percaya pengalaman Zurainah mampu menjadikan FINAS lebih mantap. (Foto: FINAS)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *