“Kejayaan yang ingin diraih amat bergantung pada kebertanggungjawaban, ketelusan, serta keteguhan moral mereka yang memegang amanah dan tanggungjawab” – Ketokohan Tun Dr Ismail Al-Haj dicontohi
3 min read
Ketokohan Allahyarham Tun Dr Ismail Al-Haj sentiasa dikagumi.
Cucunya, Kamariah Shakirin Mustafa berkata, falsafah dan prinsip serta visi datuknya itu disifatkan selari dengan visi Malaysia MADANI yang diperjuangkan kini.
“Pada hari Khamis menjelangnya Isya’ 50 tahun yang lalu, pada tarikh ini dan bulan ini, datuk kami telah menghembuskan nafas terakhirnya. Namun, falsafahnya, prinsipnya serta visinya tersemai dan hidup subur di dalam sanubari kami, cucu-cucunya — melalui didikan arwah nenek serta juga ibu (dalam kes saya).
“Lantas tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969, Allahyarham kembali ke dalam medan politik demi meletakkan kembali demokrasi berperlembagaan di atas landasannya yang sah. Altruismanya meletakkan kepentingan negara di hadapan, dan sekaligus membelakangkan kepentingan peribadinya.
“Padanya, persefahaman serta permuafakatan yang telah dimeterai untuk negara mencapai kemerdekaan tidak boleh diketepikan. Inilah juga, pada hemat saya, semangat Malaysia MADANI! Piagam Madinah lantas terbayang di dalam fikiran saya!,” katanya pada Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara yang diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, keluarganya mengagumi nilai moral Allahyarham.
“Tidak guna kita memiliki bangunan-bangunan yang meninggi, mencakar langit jika manusia-manusia yang menghuninya kosong budi, huduh adab, serta muflis pekerti.
“Sudah pasti, padanya, kejayaan yang ingin diraih amat bergantung pada kebertanggungjawaban, ketelusan, serta keteguhan moral mereka yang memegang amanah dan tanggungjawab. Dari situ, kita dapat lihat bahawa bukan sistem atau dasar atau institusi yang dibina yang salah dan cacat.
“Salahnya dan cacatnya adalah diri kita sendiri. Kita lupa, atau sengaja lupa, melihat di dalam diri kita sendiri — sehingga nafsu tamak menguasai akal pertimbangan, mengabui arah dan tujuan, dan mengabaikan kemajuan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ujarnya, sebagai negarawan yang inginkan keamanan, kebebasan, serta terkecuali dari menjadi mangsa perlumbaan kuasa-kuasa besar ketika itu, pada tahun 1971 Allahyarham telah mengutarakan idea ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom, and Neutrality).
“Idea tersebut, pada hemat saya, terus kekal relevan dan penting lantaran dunia yang kini makin bergolak dan masih tidak sepi dari peperangan. Pada hemat saya, kita memerlukan persekitaran rantau yang aman, bebas dan berkecuali untuk Malaysia MADANI dinyatakan sepenuhnya bercirikan warga yang tinggi budi dan bahasanya, indah adabnya dan cantik pekertinya.
“Berdirinya saya di atas pentas ini tidak hanya sebagai wakil kepada keluarga kami tetapi juga sebagai suara generasi muda. Heavy is the head that wears the crown.
“Dapat saya bayangkan betapa beratnya mahkota tanggungjawab yang dipikul untuk menggerakkan Malaysia MADANI. Lantaran itu, saya menyeru generasi muda sekalian tampil ke hadapan sebagai wira-wira Futuwah untuk bersama-sama memikul tanggungjawab tersebut untuk menjadikannya satu realiti,” katanya.

Dalam ucapannya, Kamariah yang merupakan anak kepada Allahyarhamah Zailah Tun Dr Ismail turut menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil atas inisiatif kepada penganjuran acara bersejarah tersebut.

- Kafebuzz.my

