02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Kau Ilhamku di Hari Raya dedikasi buat doktor, jururawat dan pekerja bidang kesihatan

1 min read

Siapa saja pasti jatuh cinta mendengar lagu Kau Ilhamku.

Lagu tersebut sering menjadi siulan ramai peminat dan ia pantas mengingatkan peminat terhadap penyanyi asal, Man Bai.

Sempena Aidilfitri bakal tiba tidak lama lagi, Man Bai kembali dengan buah tangan terbaharu untuk peminatnya. Kali ini lagu yang dihasilkan berbeza apabila dia bergabung dengan Aurelius Healthcare menghasilkan sebuah lagu Raya eksklusif berjudul Kau Ilhamku di Hari Raya. Gabungan lagu unik ini dihasilkan oleh penerbit berbakat dan penyanyi-penulis lagu, Amylea Azizan.

Lagu Kau Ilhamku di Hari Raya menggabungkan lagu popular Kau Ilhamku dan lagu raya klasik daripada Puan Seri Saloma iaitu Selamat Hari Raya. Gabungan melodi yang indah ini menghasilkan medley lagu yang dikenali oleh semua rakyat Malaysia.

Lagu Kau Ilhamku di Hari Raya ciptaan Amylea Azizan dipersembahkan oleh Man Bai.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Timbalan Pengerusi di Aurelius Healthcare, Datuk Amir Firdaus Abdullah berkata pihaknya sangat teruja dengan kerjasama kali ini.

“Vokal Man Bai dan bakat Amylea dalam menggabungkan dua lagu yang digemari ramai adalah luar biasa. Kami ingin mendedikasikan lagu istimewa ini kepada semua doktor, jururawat serta pekerja-pekerja bidang kesihatan di seluruh negara yang telah bekerja tanpa jemu dan banyak berkorban, terutamanya dalam dua tahun kebelakangan ini.

“Kami amat mengagumi dedikasi dan kerja keras mereka, dan amat berterima kasih kepada mereka semua,” katanya.

Lagu Kau Ilhamku di Hari Raya boleh ditonton di platform YouTube.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *