03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Karnival Jom Heboh 2022 raih pengiktirafan Malaysia Book of Records

2 min read

Karnival Jom Heboh yang diperkenalkan sejak tahun 2003 menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Acara Padang Paling Lama di Malaysia pada tahun ini.

Pencapaian luar biasa ini turut diraih menerusi penganjuran di lokasi Anjung Floria, Putrajaya yang dibawakan oleh DuitNow yang mencipta sejarah apabila lebih 300,000 pengunjung hadir sejak jam 8 pagi hingga 12 tengah malam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (baju merah) bersama Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid bergambar kenangan ketika tiba di Karnival Jom Heboh 2022 di Anjung Floria, Putrajaya. (Foto: NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN)

Apa yang menarik perhatian pengunjung kali ini ialah aktiviti belon udara panas yang hanya mengenakan bayaran sebanyak RM1 menerusi DuitNow. Tawaran menarik ini membuatkan pengunjung sanggup beratur seawal jam 7.30 pagi meskipun kaunter belum dibuka.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik lain turut disediakan di reruai kendalian Media Prima Berhad seperti TV3, TV9, DidikTV, Hot FM, Molek FM, Buletin FM, OH BULAN, SEISMIK, VOCKET, Waktu Solat Malaysia dan WOWSHOP. Hari Rekreasi Putrajaya anjuran Perbadanan Putrajaya juga memeriahkan suasana persekitaran Karnival Jom Heboh 2022 sepanjang dua hari tersebut.

Sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records disampaikan oleh Ketua Pegawai Pemasaran Malaysia Book of Records, Jwan Heah kepada Eileen Lim, Pengurus Besar, Activation mewakil Media Prima Berhad.

Konsert Jom Heboh 2022 berjaya mencatat hampir 10,000 pengunjung yang hadir selama dua malam berturut-turut. (Foto: NSTP)

Acara terbesar anjuran syarikat konglomerat media terbesar ini berjaya menarik perhatian ramai pengunjung hadir. Pengunjung kelihatan teruja apabila dapat bertemu dan bergambar dengan barisan pelakon Drama Sangat iaitu Meerqeen, Anna Jobling, Fimie Don, Ummi Nazeera, Zara Zya, Sophia Albarakbah, Nazeera Sardi, Ruzana Ibrahim dan Salina Saibi.

Kegembiraan berganda apabila pengunjung berpeluang untuk berkaraoke bersama-sama dengan artis jemputan antaranya Sharifah Shahira, Fiza Thomas, Amelina dan Aiman Wynne. Pengunjung cilik juga berpeluang merakamkan memori indah bergambar dengan maskot Alif & Sofia dan Hang Omar Timor, serta menyertai pelbagai aktiviti menarik di reruai DidikTV dan NSTP.

Orang ramai mengunjungi Karnival Jom Heboh 2022 yang berlangsung di Anjung Floria, Putrajaya. (Foto: NSTP/ROHANIS SHUKRI)

Kemuncak acara Karnival Jom Heboh 2022 bertambah meriah dengan penganjuran Konsert Jom Heboh yang dibawakan oleh Hot FM, Molek FM dan Buletin FM berlangsung selama dua malam berturut-turut bermula jam 9 malam dikerumuni hampir 10,000 pengunjung pada setiap malam.

Meskipun hujan rintik, pengunjung tetap berada di hadapan pentas dengan payung. Antara pengacara terlibat adalah AG, Ally Iskandar, Hawa Rizwana dan Haiza manakala barisan penyanyi terkenal tanah air seperti Siti Nordiana, Ara Johari, kumpulan Masdo, Insomniacks, Amsyar Lee dan Ezad Lazim tidak melepaskan peluang untuk memberikan persembahan terbaik pada malam itu.

Bagi mereka yang ketinggalan menyaksikan Konsert Jom Heboh 2022 boleh melayari laman sesawang www.jomheboh.com.my.

Jwan Heah (kiri) menyampai sijil MBOR kepada Eileen Lim. (Foto: NSTP)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *