“Kami bukan sekadar saluran TV, kami adalah sebahagian daripada cerita anda!” – CEO TV3, Nini Yusof
2 min read
TV3 bakal menyambut ulang tahun ke-40 pada 1 Jun ini.
Bersempena sambutan istimewa kali ini, TV3 mengangkat tema Inspirasi Generasi, yang sentiasa memberikan inspirasi sebagai pencetus, pengubah ‘trend’ dan perintis dalam bidang televisyen. Tujuh slot program di TV3 diberikan penjenamaan baharu bersesuaian dengan tema keseluruhan kempen ulang tahun ini iaitu slot 9PM, Drama, Wanita, Hiburan, Jaguh Kartun, Hidupkan Pagi dan Raudhah.

TV3 juga melancarkan koc khas kereta api LRT bagi laluan Kelana Jaya dengan memaparkan beberapa gerabak yang dibalut khas dengan visual penjenamaan baharu TV3 bermula 20 Mei hingga 19 Jun ini.
Buat julung kali, TV3 berkolaborasi dengan Galeri Seni Digital di Muzium Telekom, menganjurkan Immersio: Inspirasi Generasi TV3 bermula 20 Mei hingga 9 Jun ini iaitu pameran seni digital berunsurkan teknologi terkini sekaligus menjadikan seni tradisional lebih inovatif dan dinamik.

TV3 juga merancang pelbagai aktiviti menarik iaitu Inspirasi Pameran Seni Kontemporari Digital (audio & visual), Inspirasi Bazar dan Lights & Art Expressive Showcase yang menampilkan persembahan daripada artis-artis terkenal tanah air yang memberi ruang kepaada semua lapisan masyarakat merasai keajaiban TV3 secara langsung.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TV3, Nini Yusof menyatakan penghargaan kepada penonton setia TV3 yang terus menyokong stesen kegemaran ramai itu.
“Tema Inspirasi Generasi benar-benar mencerminkan perjalanan kami selama ini sebagai pencetus inspirasi, perintis dalam inovasi dan penggerak perubahan dalam industri televisyen. Kami percaya bahawa sambutan ini bukan sahaja untuk menghargai sejarah dan kejayaan tetapi juga mengukuhkan komitmen kami pada masa depan.
“Dengan aktiviti-aktiviti yang kami rancang, kami berharap dapat mengeratkan lagi hubungan dengan penonton setia dan menyebarkan keajaiban TV3 kepada semua. Kami bukan sahaja meraikan tetapi memiliki momen ini dan melakukannya dengan cara sendiri. Kami bukan sekadar saluran TV, kami adalah sebahagian daripada cerita anda!.
“Walaubagaimanapun, dalam kita berhibur meraikan ulang tahun ini, jangan kita lupakan tentang isu-isu semasa yang sedang melanda dunia. Kami turut sensitif dan mengambil berat terhadap konflik yang berlaku di Palestin sekarang ini.
“Pengunjung yang hadir, boleh menghulurkan sumbangan menerusi Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima sepanjang berjalannya acara ini. Kami berdiri bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka dan kami akan terus menyokong usaha-usaha kemanusiaan dan keadilan,” katanya.

Antara aktiviti-aktiviti yang disediakan di Immersio: Inspirasi Generasi TV3 di Muzium Telekom ini selain dari tempat-tempat tarikkan ‘OOTD’ untuk generasi kini adalah Inspirasi Art Showcase bermula 20 Mei sehingga 9 Jun, Inspirasi Bazaar (1 dan 2 Jun), Lights & Arts Expressive Showcase (1, 2 Jun dan 8 serta 9 Jun).
Selain itu, program-program menarik merangkumi genre kerohanian, majalah dan inspirasi, gaya hidup, bual bicara khas serta drama disajikan sempena sambutan ulang tahun TV3 ke-40 tahun ini seperti Tanyalah Ustaz: Akad 40 pada 8 Jun ini jam 7 malam, Malaysia Hari Ini (Isnin sehingga Jumaat, 9.30 pagi), Majalah 3 (3 Jun, 9 malam), 999 (Selasa, 9 Malam), NONA (2 Jun, 2 petang), Buletin Utama (30 Mei sehingga 1 Jun, 8 malam) dan drama bersiri terbaharu, Polis Peronda mulai 28 Jun jam 10 malam.


- Kafebuzz.my

