02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Jom ke Festival Kanak-Kanak Gardens by the Bay tonton Inside Out 2

3 min read

Festival Kanak-Kanak Gardens by the Bay kembali dengan edisi ke-10 membawakan kolaborasi menarik bersama Inside Out 2 Disney dan Pixar.

Bermula 25 Mei lalu di Supertree Grove, Singapura yang ikonik, ini menjadi satu-satunya karnival luar bertemakan Inside Out 2 di Asia Tenggara dengan pemasangan berskala besar.

Kanak-kanak boleh belajar tentang perasaan mereka dengan bermain di pelbagai kawasan interaktif yang diilhamkan oleh watak-watak Inside Out 2 yang digemari, seperti Joy, Anger, Sadness, Fear  dan Disgust bersama-sama watak baharu, Anxiety, Envy, Ennui dan Embarrassment. 

Pelancaran Inside Out 2 pada 13 Jun ini untuk pasaran Malaysia, Singapura dan Thailand manakala 14 Jun di Indonesia.

Festival Kanak-Kanak Gardens by the Bay dibuka secara percuma. (Kredit: Gardens by the Bay)

Gardens by the Bay ialah tempat tarikan hortikultur ulung dan festival kanak-kanak merupakan sebuah acara yang istimewa ketika cuti sekolah yang menampilkan pelbagai aktiviti secara percuma dan edisi pada tahun ini berlangsung sehingga 22 Jun nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif, Gardens by the Bay, Felix Loh berkata, semua pihak mahu anak-anak berasa gembira dan sihat, ia menimbulkan rasa teruja untuk berganding bahu dengan Disney sempena Festival Kanak-kanak Gardens by the Bay edisi ke-10.

“Kanak-kanak boleh belajar tentang tekanan dan emosi dengan cara yang menyeronokkan melalui watak-watak berkaitan dan kisah yang menyentuh hati seperti cerita-cerita daripada Disney dan Pixar. Lebih penting lagi, acara ini akan membolehkan keluarga menjalin hubungan yang erat dan menghabiskan masa yang bermakna bersama-sama,” katanya dipetik PR Newswire.

Antara tarikan di Festival Kanak-Kanak Gardens by the Bay. (Kredit: Gardens by the Bay)

Bagi Pengarah Pembangunan Konsep Tarikan, Hiburan dan Pelancongan Lembaga Pelancongan Singapura Ashlynn Loo, mereka berasa teruja untuk menyokong Festival Kanak-kanak Gardens by the Bay sebagai satu-satunya tempat di Asia Tenggara yang memberi peluang kepada keluarga menikmati karnival luar bertemakan Inside Out 2 dengan pemasangan berskala besar.

“Kami berharap pengunjung akan dapat menikmati pengalaman yang segar dan menawan dengan meneroka pelbagai zon yang diilhamkan oleh emosi-emosi Inside Out 2.

“Ketika kami terus mengalu-alukan lebih ramai pengunjung untuk kembali ke Singapura, kami berharap dapat membawakan pengalaman riadah lebih mengujakan yang akan menarik minat baik pengunjung tempatan mahupun antarabangsa, sebagai sebahagian daripada kolaborasi berterusan kami bersama Disney, bagi memperkukuh kedudukan kami sebagai destinasi riadah dan hiburan yang meriah,” katanya.

Kanak-kanak pastinya teruja ke Festival Kanak-Kanak Gardens by the Bay. (Kredit: Gardens by the Bay)

Pengunjung juga boleh menantikan edisi khas pertunjukan cahaya dan bunyi Garden Rhapsody setiap malam sepanjang tempoh festival kanak-kanak ini. Garden Rhapsody merupakan pertunjukan malam istimewa di Supertree Grove, di mana lampu pada Supertrees menari mengikut runut bunyi muzik setiap malam pada 7.45 malam dan 8.45 malam.

Edisi khas ini, bertajuk The Medley of Emotions, akan menyaksikan lampu pada Supertrees serta Memory Orbs dalam pemasangan Kaleidoscope of Memories memaparkan pencahayaannya dan bertukar-tukar warna berharmoni dengan runut bunyi Inside Out.

Pengunjung boleh singgah ke Kaleidoscope of Memories. (Kredit: Gardens by the Bay)

Menariknya, buku kecil jejak aktiviti percuma juga disediakan dengan cadangan aktiviti seperti mengumpul setem untuk memastikan kanak-kanak terhibur. Pengunjung yang melengkapkan buku kecil mereka dan mengumpul semua setem boleh menebus helaian pelekat Inside Out 2 yang eksklusif untuk Festival Kanak-Kanak Gardens by the Bay.

Menariknya, pengunjung dengan set setem yang lengkap juga boleh menebus rantai kunci cenderamata dengan reka bentuk eksklusif Gardens by the Bay, yang boleh disesuaikan dengan hiasan kecil yang diilhamkan oleh Inside Out 2.

Permainan Mood Swings. (Kredit: Gardens by the Bay)

Orang ramai juga dijemput untuk menikmati tayangan luar percuma filem-filem kegemaran Disney dan Pixar seperti Coco, Elemental, Finding Dory dan Incredibles 2 pada hujung minggu pertama iaitu 25 Mei dan 26 Mei, serta 1 Jun dan 2 Jun ini.

Pengunjung yang mencari pengalaman berbeza boleh memakai tali pinggang dan menaiki Train of Emotions bagi menikmati perjalanan kereta api berpemandangan indah melalui Supertree Grove. Caj berasingan dikenakan untuk menaiki kereta api.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *