02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Ito Blues Gang gesa segerakan penubuhan Perbadanan Muzik Malaysia

2 min read

Apakah isu cetak rompak sudah dapat diatasi sepenuhnya?

Isu yang dianggap lapuk hingga tiada kesudahan ini terus menghantui penggiat seni muzik khususnya penyanyi. Jadi, apakah tahun 2021 kali ini bakal memberikan sinar baharu buat masa depan industri muzik tanah air.

Penyanyi legenda yang juga pejuang isu cetak rompak, Ito Mohd berpandangan permasalahan isu ini perlu diberi perhatian yang lebih fokus dan berterusan.

“Isu cetak rompak sudah berlaku berpuluh tahun. Cuma di sini, isu ini diletakkan di bawah kementerian yang salah.

“Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan kemudian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Mereka ada banyak ‘produk’ yang perlu dijaga sedangkan kita sebenarnya tidak mempunyai ‘rumah’ macam Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS),” katanya kepada Kafebuzz.

Ujarnya, mengambil contoh FINAS yang mempunyai kapasiti melaksanakan tugas penguatkuasaan sendiri, Hong Kong juga menggunakan bidang kuasa pihak kastam dan polis bukannya di peringkat kementerian.

“Bila lanun tengok tiada anggota beruniform, mereka makin berleluasa. Ramai penggiat seni muzik sebenarnya tidak bersetuju fungsi muzik diletakkan di bawah FINAS, ada baiknya diwujudkan sebuah perbadanan yang khusus untuk muzik,” katanya.

Tambahnya, penubuhan perbadanan muzik di negara ini sangat penting dalam membanteras isu cetak rompak.

“Jika tidak kita tak boleh lawan cetak rompak. Kita perlu kawal dari ‘A to Z’ proses penerbitan hingga pengedaran sesebuah album.

“Dulu ‘publisher’ ialah syarikat rakaman yang pegang ‘master copy’. Semua syarikat rakaman adalah ‘publisher’ dan mereka yang memasarkan album,” katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah sebelum ini menyatakan dasar khas industri muzik tempatan akan dibentangkan dalam mesyuarat kabinet selewatnya pada akhir tahun ini.

Dalam laporan Sinar Harian, Saifuddin bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri mencapai persefahaman hal berkaitan muzik diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Vokalis kumpulan Blues Gang ini turut menyokong usaha bersungguh-sungguh seperti mana dilakukan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez dalam membangitkan isu royalti kepada penggiat seni.

Ito mengharapkan cadangan untuk menubuhkan perbadanan muzik dapat diteruskan dan disegerakan dalam membanters isu cetak rompak yang dijangka akan terus berlaku di zaman digital.

Idea menubuhan Perbadanan Muzik Malaysia pernah diperkatakan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu sebagai Perdana Menteri, dua tahun lalu. Beliau berkata penggiat muzik akan menentukan sendiri fungsi dan bentuk organisasi perbadanan muzik yang melindungi penggiat seni muzik daripada lanun cetak rompak, seperti dilaporkan Berita Harian.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *