01/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Hargai jasa wartawan hiburan, KARYAWAN ziarah Rosli Manah

2 min read

Generasi artis zaman sekarang mungkin tidak tau bahawa penulisan wartawan hiburan memberi impak besar pada perjalanan karier seorang anak seni.

Daripada laporan berita ringkas hingga menjadi ‘cover’ muka hadapan ruangan hiburan di akhbar mahupun majalah hiburan, ia bagaikan bonus pada artis itu mengecapi populariti. Malah, laporan media juga merupakan publisiti ‘percuma’ untuk artis mempromosikan diri kepada khalayak khususnya mendapat pelbagai tawaran kerja baharu.

Masa berlalu, apabila wartawan hiburan bersilih ganti, zaman artis juga berlalu. Wartawan hiburan berstatus pencen tidak lagi ditagih penulisannya kerana mereka tidak lagi bekerja dan mempunyai jawatan sebagai wartawan hiburan.

Nama Rosli Manah mungkin kurang dikenali generasi artis baharu tetapi penulisan dan perjuangannya dalam mencorakkan industri hiburan tanah air selama 32 tahun tetap menjadi sejarah pada artis yang pernah bersama-sama berjuang dalam tempoh tersebut.

Semalam, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez tampil menziarahi bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad itu yang kini mendapatkan rawatan di Hospital Kajang, Selangor akibat penyakit kencing manis dan jangkitan kuman pada otak.

“Rosli merupakan kawan lama dalam industri yang banyak menyokong usaha KARYAWAN dalam memartabatkan industri seni dan kreatif tempatan.

“Walaupun beliau tidak merupakan ahli KARYAWAN, kami terpanggil untuk melawat dan memberi sedikit sumbangan untuk kos perubatan dan rawatan susulan atas segala sokongan yang beliau telah berikan selama ini,” katanya kepada Kafebuzz.

Freddie bersama Rozita menziarahi Rosli di Hospital Kajang, Selangor, semalam. (Foto: Freddie Fernandez/KARYAWAN)

Bagi Freddie, hubungan wartawan hiburan dan persatuan industri kreatif sentiasa akrab apatah lagi jasa serta pengorbanan wartawan hiburan terus dihargai.

“Kami harus menghargai jasa wartawan hiburan dalam membangunkan industri seni dan kreatif tempatan kerana tanpa sumbangan Rosli dan rakan-rakan sudah pasti banyak pencapaian penggiat seni tak akan sampai ke pengetahuan para peminat seni.

“Kami berdoa Rosli akan dapat mengatasi segala cabaran yang dihadapi dan cepat pulih,” katanya.

Dalam kunjungan tersebut, Freddie turut ditemani artis veteran, Rozita Rohaizad. Rosli yang pernah berkhidmat sebagai Editor Mangga Online bersama Utusan Karya Sdn Bhd sejak Jun 1993 kini ditempatkan di Wad 1, katil 15, Hospital Kajang, Selangor.

Rosli kini terlantar sakit akibat penyakit kencing manis dan jangkitan kuman pada otak. (Foto: Freddie Fernandez/KARYAWAN)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *