Gerak Khas Undercover Musim 2 jejaki ketua sindiket pengedar dadah paling dikehendaki
2 min read
Suasana malam bagaikan sunyi tanpa aksi Erra Fazira bersama rakan-rakan sepasukan.
Buat peminat drama bersiri popular, Gerak Khas Undercover, kini kembali dengan musim kedua menampilkan pelbagai kes jenayah yang lebih mencabar dan penuh aksi mendebarkan. Bukan saja Erra, barisan pelakon hebat lain seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Seri Eizlan Yusof, Datuk Aaron Aziz, Farid Amirul, C. Kumaresan, Salina Saibi, Sheera Iskandar, Raja Afiq, Ruzana Ibrahim dan Elizabeth Tan turut beraksi.

Gerak Khas Undercover Musim 2 mula disiarkan pada 24 Jun lalu pada setiap Jumaat jam 10.30 malam. Drama berbentuk penyiasatan dan kepolisian ini merupakan terbitan Skop Production dan arahan bersama Syafiq Yusof, C. Kumaresan dan Faizal Yusof. Ia mengisahkan anggota polis yang menjalankan tugasan risikan dan penyamaran dalam menyelesaikan kes jenayah yang berleluasa.
Menerusi episod pertama dan kedua, pasukan unit khas yang dipimpin oleh ACP Zamri lakonan Eizlan Yusof berusaha menjejaki ketua sindiket pengedar dadah yang paling dikehendaki. Bagi menyelesaikan kes tersebut, Rita (Ruzana) menyamar sebagai gelandangan untuk mengumpul maklumat.

Sementara itu, Zaki (Aaron) dan Hafiz (Raja Afiq) hampir terkena tembakan curi seorang lelaki yang tidak dikenali. Gandingan kerja berpasukan dan operasi penyamaran itu, pasukan ‘undercover‘ ini berjaya menangkap Bob Tompo yang juga ketua sindiket tersebut dan dia juga individu bertanggungjawab yang menembak Zaki dan Hafiz.
Dalam episod minggu ini bertajuk Proksi, ia mengisahkan seorang suspek lelaki (Nordin) berjaya melarikan diri dengan bantuan rakannya ketika serbuan polis. Bagaimanapun, apa yang menjadi tanda tanya apabila polis menemui mayat suspek tidak jauh dari lokasi serbuan dengan dua kesan tembakan.

Pasukan ‘undercover’ mendapat maklumat tiga suspek lelaki mempunyai hubungan dengan mangsa. Kumar (C. Kumaresan) dan Lim (Farid Amirul) diarahkan membuatkan penyamaran bagi mengesan aktiviti jenayah itu. Seorang usahawan wanita dikenali sebagai Tisya dipantau polis kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan Nordin yang berjumpa dengan mangsa sebelum kejadian tersebut.
Pada masa yang sama, berlaku konflik antara ASP Zaki dengan Inspektor Hafiz atas sebab kecuaian Hafiz ketika menjalankan tugas. Insiden itu menyebabkan hubungan mereka berdua semakin renggang. Bagi mengetahui kesudahan episod minggu ini, tonton Gerak Khas Undercover musim 2 yang akan bersiaran pada setiap Jumaat, jam 10.30 malam di TV3.

- Kafebuzz.my

