Gangguan sistem DBKL, tiada tuntutan tebusan
1 min read
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan sistem mereka mengalami gangguan teknikal.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Unit Media, Jabatan Perancangan Korporat DBKL menyatakan siasatan sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.
“DBKL juga ingin menegaskan bahawa tiada sebarang tuntutan tebusan,” katanya.
Jelasnya, perkhidmatan dalam talian DBKL seperti Adu@KL, e-perumahan, e-lesen, Tempah@KL, e-dog, e-kesihatan, e-klinik, Sistem Penilaian dan Pengurusan Harta (SPPH), Sistem Penguatkuasaan Jabatan (SPJ) untuk urusan kompaun, portal DBKL, PSKL 2040, VISITKL, sistem emel DBKL dan EPIC iaitu sistem pembayaran telah berjaya dipulihkan serta kembali beroperasi seperti biasa.
DBKL juga memberitahu usaha memulihkan sistem-sistem lain sedang dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya bermula 23 Mei ini.
“DBKL kekal komited dalam memperkukuhkan keselamatan siber dan menambah baik keupayaan infrastruktur teknologi sebagai langkah pencegahan terhadap sebarang gangguan pada masa hadapan. DBKL amat menghargai kesabaran dan sokongan berterusan daripada warga Kuala Lumpur serta memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku,” katanya.
- Kafebuzz.my

