03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

FINAS jana pelaburan RM1 bilion, Fahmi bawa pindaan FINAS ke Parlimen

3 min read

Kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menjangkakan pelaburan RM1 bilion melalui 28 filem dan produksi TV.

Perkara tersebut merupakan pencapaian ketujuh daripada 10 pencapaian yang diraih Kerajaan Perpaduan bagi tempoh minggu lalu iaitu dari 23 hingga 29 Januari 2023.

Pencapaian positif FINAS yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim itu dikongsi Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi satu status di media sosial Instagramnya, @fahmifadzil.1.

Kejayaan FINAS itu juga membuktikan kerajaan meneruskan usaha dalam membangunkan industri kreatif negara yang membawa pulangan pelaburan menguntungkan buat negara.

Fahmi ketika memberikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Putrajaya, hari ini. (Foto: KKD)

Menurut Fahmi, ketika beliau mengikuti lawatan kerja rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura semalam, beliau melihat Malaysia perlu menjadi pemimpin yang berada di kedudukan paling hadapan di peringkat ASEAN.

“Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditanda tangan memberi ruang kerjasama dengan Singapura dalam mencari threat hackers. Aspek paling penting yang pernah saya sebut ialah dari segi pelaburan industri digital itu sendiri termasuk industri kreatif sama ada FINAS ataupun Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MyCreative Ventures malah juga PUSPAL memainkan peranan sangat penting,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Putrajaya, hari ini.

Tambahnya, beliau sangat terkesan apabila menonton konsert AR Rahman berskala besar yang berjaya dianjurkan buat kali pertama di Kuala Lumpur baru-baru ini dan pengalaman pertamanya sebagai Menteri Komunikasi dan Digital ketika ke Singapura, semalam.

“Masuk 3 Februari ini secara rasmi 2 bulan saya menggalas tanggungjawab ini (Menteri), maka saya nampak potensi kita, kementerian ini dan potensi Malaysia itu tersangat besar dan kita tidak boleh bazirkan peluang ini.

“Maka dari perbezaan itu dan perpaduan yang kita pupuk, objektif kita adalah satu kemakmuran yang dapat dinikmati oleh semua. Saya bersama KSU (Ketua Setiausaha) selepas ini ada beberapa pertemuan untuk memberi penegasan, sebelum ini kita umum pakej perpaduan prabayar mudah alih Internet.

“Selepas ini kita akan pastikan pakej perpaduan bagi Internet talian tetap dikurangkan untuk B40. Jadi saya akan tegaskan pada semua bahawa kita nak bantu lengkapkan 3 peratus akses Internet yang belum lagi diselesaikan, pada masa sama prasarana masalah porthole yang berlaku untuk 97 peratus yang lain,” katanya.

Fahmi bergambar kenangan bersama kakitangan KKD. (Foto: KKD)

Ujarnya, beliau tidak mahu terima WhatsApp, emel, teks dalam Facebook atau Twitter termasuk titah Tuanku tentang masalah Internet yang berlaku.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah ada sistem untuk pastikan masalah 97 peratus ini dapat diselesaikan segera. Insha Allah sebelum hujung bulan 3 akan selesai proses review pelaksanaan rangkaian 5G dalam negara kita.

“Saya ada pertemuan dengan Perdana Menteri dan perbincangan dengan KSU, kita sedang bersiap sedia mengumpul maklum balas mengadakan sesi libat urus pertemuan kerana 5G ini memainkan peranan sangat penting bukan hanya dari segi akses kepada perkhidmatan itu tapi sebenarnya cara kita menguruskan teknologi sepatutnya membantu kita ke arah masa depan yang lebih baik, madani dan bertamadun,” katanya.

Pencapaian Kerajaan Perpaduan menerusi FINAS yang akan menjana pelaburan sebanyak RM1 bilion, (Foto: KKD)

Fahmi juga menjelaskan beliau akan membawa beberapa perkara penting menjelang Sidang Parlimen pada 13 Februari ini dan pembentangan Belanjawan pada 24 Februari.

“Harapan saya pada tahun ini ada beberapa pindaan yang dapat kita bawa iaitu Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), FINAS, SKMM tapi untuk CSM (Cybersecurity Malaysia), kita ada satu perancangan lebih besar iaitu penubuhan Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia dan kita cuba bekerjasama dengan agensi lain untuk kita capai hasrat dan matlamat ini,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *