02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Filem blockbuster Malaysia, drama tempatan 15 jam lebih awal siaran hanya di platform eksklusif Disney+ Hotstar

4 min read

Syarikat Walt Disney mengumumkan perkhidmatan penstriman yang dinanti-nantikan Disney+ Hotstar bakal dilancarkan di Malaysia pada 1 Jun 2021.

Penonton kini berpeluang menikmati kandungan menarik daripada jenama hiburan paling ikonik di bawah Syarikat Walt Disney termasuk Disney, Pixar, Marvel, Star Wars, National Geographic dan pelbagai siri hiburan dan filem umum bagi khalayak dewasa muda, serta karya-karya tempatan dan Asia yang terulung — semuanya menerusi satu platform tunggal.

Menariknya, pengguna boleh melanggan Disney+ Hotstar secara terus pada harga RM54.90 untuk setiap tiga bulan, atau melalui pakej khas dengan Astro bagi menikmati akses kepada koleksi kandungan yang begitu luas.

Pelanggan berpeluang menikmati Disney + Originals seperti The Mandalorian dan High School Musical: The Musical: The Series, serta WandaVision, The Falcon and The Winter Soldier dan Loki daripada Marvel Studios.

Barisan rancangan ini merupakan tambahan kepada siaran ‘blockbuster’ dan kandungan terbaharu termasuk Avengers: Endgame, Avengers: Infinity War dan Black Panther daripada Marvel Studios; adaptasi aksi langsung Disney – Mulan, Maleficent: Mistress of Evil, The Lion King, Aladdin dan Beauty and the Beast; animasi-animasi Disney popular – Frozen 1 dan 2, Moana dan Big Hero 6, serta Soul, Coco, The Incredibles 2 dan Finding Dory daripada Disney dan Pixar.

Selain itu, turut disajikan adalah katalog siri dan filem hiburan umum yang hebat seperti Nomadland, The Walking Dead, Jojo Rabbit, Criminal Minds, Fresh off the Boat, The Simpsons, Grey’s Anatomy, 9-1-1 dan banyak lagi.

Bagi menzahirkan sokongan terhadap komuniti filem tempatan, Disney+ Hotstar turut memeterai satu siri perjanjian beberapa tahun dengan studio-studio tanah air terkemuka seperti Skop Productions, Revolution Media Films, Primeworks Studios, WAU Animation, Act 2 Pictures, Les’ Copaque Production, Red Films dan sebagainya.

Perjanjian berkenaan bermaksud Disney+ Hotstar akan menjadi platform eksklusif bagi beberapa filem ‘blockbuster’ Malaysia yang paling dinanti-nantikan, akan melangkau pawagam dan dilancarkan terus melalui perkhidmatan penstriman seperti filem J2: J Retribusi iaitu sekuel penuh aksi dibintangi Zul Ariffin, Ashraf Sinclair dan Amelia Henderson; filem Zombitopia menampilkan Shaheizy Sam, Bront Palarae dan Sharifah Amani dan filem Ada Hantu dijayakan Hairul Azreen. Ejen Ali The Movie 2 juga akan ditayangkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar selepas tayangan perdana di pawagam.

Di samping itu, drama bersiri tempatan yang disiarkan pada waktu perdana dari TV3 seperti Single Terlalu Lama dan Kekasih Hati Mr. Bodyguard akan ditayangkan terlebih dahulu di Disney+ Hotstar pada jam 7 pagi hari sama siaran langsungnya. Oleh itu peminat drama tempatan dapat menonton siri kegemaran mereka menerusi platform ini sehingga 15 jam sebelum siaran di platform lain.

Selain itu, beberapa filem Malaysia paling ikonik dan terunggul termasuk J Revolusi, Tombiruo, KL Special Force, Ejen Ali The Movie, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, Munafik, Istanbul Aku Datang!, filem francais Rock (Rock, Rock Oo!, Rock Bro! dan Rock 4: Rockers Never Dai), Talentime, Mukhsin, The Kid From The Big Apple 2, Vedigundu Pasangge, Evolusi KL Drift 1 & 2, KL Gangster 1 & 2, Gol & Gincu 1 & 2, Guang, Redha and Roh, akan disajikan menerusi Disney+ Hotstar.

Bagi penonton yang gemar menonton cerita bersiri terus menerus dalam satu masa, terdapat siri-siri yang menampilkan barisan bintang tersohor seperti Wifi Sebelah Rumah dibintangi Zul Ariffin dan Ruhainies dan Semanis Senyumanmu (lakonan Daiyan Trisha dan Aiman Hakim Ridza).

Kanak-kanak dan seisi keluarga dapat menikmati siri hebat seperti Ejen Ali, lebih 10 musim Upin & Ipin, Club Mickey Mouse, T.O.T.S, Alif & Sofia, Wizards of Warna Walk dan Spider-Man daripada Marvel, manakala peminat kandungan Asia dapat menantikan filem dan siri popular dari seluruh rantau ini, seperti Infernal Affairs, Ip Man 4 The Finale, The Deer and the Cauldron, The Legend of Haolan, Pandian Stores and Vishwaroopam 2, serta kandungan eksklusif seperti The Silent Forest, Dil Bechara dan Live Telecast.

Pengarah Eksekutif Kandungan & Kreatif, Disney+ Hotstar, Asia Tenggara, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, selain membawa kandungan jenama Disney yang hebat dari seluruh dunia, pihaknya juga amat berbesar hati untuk berganding tangan dengan studio dan pencipta kandungan untuk membawa kisah-kisah tempatan ke Disney+ Hotstar, sekaligus memacu pertumbuhan komuniti kreatif kami.

“Menerusi Disney+ Hotstar, kami berharap dapat terus memberikan sokongan padu kepada kandungan buatan Malaysia, dan menyerlahkan daya tarikan mengenai kisah-kisah, para pembuat filem, serta bakat Malaysia yang penuh inspirasi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Pelanggan akan dapat menstrim Disney+ Hotstar menerusi pelbagai pilihan peranti mudah alih dan TV bersambung termasuk pemain media penstriman. Setiap akaun yang didaftarkan dapat menyokong dua penstriman serentak, dan sebahagian besar kandungan akan tersedia untuk dimuat turun pada telefon mudah alih dan tablet.

Semua kandungan adalah bebas iklan dan mempunyai bahagian mesra kanak-kanak dengan kandungan yang sesuai dengan usia mereka. Ianya juga mudah untuk dilayari pelanggan.

Mulai 1 Jun 2021, pengguna boleh melanggan perkhidmatan tersebut secara terus menerusi laman Disney+ Hotstar, serta aplikasi Disney+ Hotstar melalui peranti Android dan iOS atau dengan Astro. Layari DisneyPlusHotstar.my untuk maklumat lebih lanjut.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *