FFM31 tetap berlangsung pada tahun ini, MyCAP dibuka semula
2 min read
Teka teki sama ada Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) dianjurkan pada tahun ini akhirnya terjawab.
Merujuk pada Mesyuarat Ahli Perbadanan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kelmarin menyatakan keputusan mereka bersetuju bahawa cadangan penganjuran malam anugerah FFM31 akan diadakan pada 10 Disember 2021.
Bagaimanapun, penganjuran acara ini akan dibuat mengikut konsep norma baharu dalam meminimumkan risiko keselamatan dan mengekang penularan pandemik COVID-19.
Sebelum ini, segelintir penggiat seni termasuk persatuan industri kreatif menyatakan pandangan tidak bersetuju pada penganjuran acara anugerah ini memandangkan pandemik COVID-19 masih wujud serta masih ramai penggiat seni yang ditimpa kesusahan akibat tidak dapat bekerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan pada tahun lalu.
Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) turut memohon FFM31 ditangguhkan sebelum ini. (Baca lagi: “FFM31 penuh keperitan akibat impak COVID-19 dan kesusahan mencari pendapatan sara hidup disambut hambar majoriti penggiat seni” – PFM)
Cadangan PFM itu disokong Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang mahu acara anugerah tersebut ditunda ke tahun hadapan atau suatu masa lain yang lebih sesuai. (Baca lagi: “Kami ibarat sekumpulan tentera yang sudah tercedera, tanpa makanan dan tanpa sebutir peluru pun tetapi diarah ke medan perang!” – Dr Ahmad Ibrahim)
Dalam pada itu, pada mesyuarat sama yang dipengerusikan Zakaria Hamid juga menyatakan permohonan baharu bagi Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia atau ‘Malaysian Creative Capacity Enhancement Programme’ (MyCAP) akan dibuka semula kepada persatuan industri kreatif bermula semalam (22 Oktober 2021) sehingga 21 November 2021.
Isu MyCAP sebelum ini dikritik hebat ramai penggiat seni dan persatuan hiburan apabila hanya 10 persatuan dipilih di bawah program ini dan lebih malang bantuan seperti bakul makanan didakwa hanya terhad kepada ahli persatuan berkenaan sahaja.
- Kafebuzz.my

