FDAM raikan pengamal media terima sijil penghargaan
3 min read
Bak kata pepatah air dicincang takkan putus.
Begitu juga perhubungan antara pengamal media dengan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) saling memerlukan antara satu sama lain dan paling penting, sokongan pengamal media yang berterusan menjadikan persatuan hiburan itu terus gah di persada seni tempatan.
Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, sumbangan pengamal media kepada FDAM seharusnya dihargai dan diraikan dalam satu majlis yang diadakan secara khusus.
“Peranan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat dengan memberikan publisiti kepada persatuan seperti FDAM sangat besar dan cukup penting. Justeru, FDAM menganjurkan Majlis Sembang Santai Bersama Media yang bertujuan memberikan penghargaan pada pengamal media atas publisiti kepada FDAM selama ini,” katanya pada majlis tersebut yang diadakan di Lakeside Kitchen, Flamingo Hotel by the Lake Kuala Lumpur, Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Menurutnya, majlis julung kali yang diadakan itu bertujuan merapatkan silaturahim antara Ahli Majlis Kerja (AMK) persatuan itu dengan pengamal media cetak dan elektronik.
“FDAM juga sebenarnya meraikan pengamal media yang banyak membantu publisiti FDAM sepanjang tahun 2021 dan 2022. Seperti mana kita sedia maklum, tahun 2021 paling mencabar dengan pandemik COVID-19 dan alhamdulillah, segala aktiviti yang dianjurkan FDAM berjaya apabila mendapat publisiti meluas daripada pengamal media,” katanya.

Pada majlis itu, hadir sama Datuk Zulkifli M Osman selaku Timbalan Presiden FDAM merangkap Ketua Biro Penguatkuasaan Undang-Undang, Mohamad Zaini Hassan (Ketua Sekretariat merangkap Ketua Biro Keahlian), Loganathan (Bendahari) dan barisan AMK terdiri daripada, Ahmad Hashim (Ketua Biro Kesejahteraan Sosial), Roslainur Roslan (Ketua Biro Pembangunan Ekonomi), Harith Haron (Ketua Biro Pasaran Antarabangsa), Elrafaei Sapi (Timbalan Ketua Biro Komunikasi dan Media) dan Faisal Ahmad (Timbalan Ketua Biro Penguatkuasaan Undang-Undang) serta Setiausaha Kerja, Siti Fairuzah.

Seramai hampir 30 pengamal media tempatan dari media cetak dan media elektronik termasuk portal berita hadir pada majlis tersebut yang diadakan secara santai. Pengamal media bukan saja dijamu dengan pelbagai juadah lazat seperti sate, ais batu campur (ABC) tetapi di kesempatan itu, media juga bersembang dan bertukar pandangan dengan AMK FDAM.
Menariknya, majlis tersebut dirasmikan bekas Pengarang Hiburan Edisi Mingguan Berita Harian, Akmal Abdullah. Bagi meninggalkan kenangan terindah pada majlis petang itu, Mat London turut menyampaikan sijil penghargaan FDAM kepada pengamal media yang hadir.
Datin Maini Jaili selaku pengarah urusan Eagle Power Technologies Sdn Bhd yang bertindak sebagai penaja Majlis Sembang Santai FDAM Bersama Media juga menerima sijil penghargaan FDAM.

Elrafaei yang juga merupakan pengasas dan Editor Pengurusan portal hiburan Kafebuzz menerima sijil penghargaan daripada Mat London sambil disaksikan AMK FDAM.
Sepanjang tahun 2021 hingga 2022, Kafebuzz membantu pelbagai publisiti mengenai FDAM antaranya Sejarah Padu Citra, FDAM perjuang profesionalisme pengarah filem Malaysia; FDAM bantu 600 penerima vaksin COVID-19, harap ramai ahli korporat dan GLC sumbang bakul makanan untuk program ResQ Anak Seni; FDAM cadang KKMM perkemas hala tuju FINAS, kepimpinan harus dirombak; Bantuan tak pilih ‘bulu’, FDAM jelajah ke zon selatan; Misteri Hutan Tok Kepak catat sejarah FDAM mengangkat pengarah amatur bawa misi ke Oscar dan FDAM dan KPSK UiTM jalin kerjasama industri, kongsi kepakaran.



- Kafebuzz.my

