03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

FDAM dan KPSK UiTM jalin kerjasama industri, kongsi kepakaran

3 min read

Kerjasama sektor akademik dan pemain industri kreatif sentiasa menjadi usaha yang positif dalam membangunkan industri kreatif negara ke suatu tahap yang terbaik.

Sehubungan dengan itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) untuk kerjasama selama tiga tahun bagi memberi nilai tambah dan melonjak perkongsian kepakaran antara kedua-dua pihak dalam memapankan industri kreatif negara.

FDAM antara lima pemain industri ternama yang dipilih menerusi MoU kali ini yang diadakan di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam, Selangor baru-baru ini. FDAM diwakili Ketua Biro Komunikasi dan Media, Letfee Ahmad bersama Timbalan Ketuanya, Elrafaei Sapi manakala MoU disaksikan dan ditandatangani oleh Profesor Dr Zaini Abdullah selaku Penolong Naib Canselor KPSK bersama Profesor Madya Ts Dr Wan Aida Wan Yahaya.

Dari kiri, Dr Wan Aida, Dr Zaini, Letfee dan Elrafaei bergambar pada sesi MoU antara KPSK dengan FDAM di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam, Selangor baru-baru ini. (Foto: KPSK)

KPSK dalam satu kenyataan media menyatakan MoU yang ditandatangani secara serentak bersama lima pemain industri ternama ini adalah satu usaha pemerkasaan kerjasama antara akademik – industri yang berlatarbelakangkan pelbagai bidang iaitu home improvement retailer, pakar runding pengarahan filem, syarikat pencetakan, agensi pemasaran digital, agensi kandungan kreatif digital dan kurator acara.

“Bersesuaian dengan kaedah Pembelajaran Berasaskan Kerja yang diterapkan dalam program-program yang ditawarkan oleh KPSK, persefahaman ini juga bakal menempatkan kumpulan pelajar di bawah program 2u1i iaitu 2 tahun di universiti dan 1 tahun di industri.

“Selain daripada manfaat yang bakal diperoleh pelajar-pelajar, kepakaran tenaga akademik dan staf KPSK juga dapat ditingkatkan di samping dapat memperkukuh, mempromosikan dan mengembangkan kolaborasi dalam bidang akademik, inovasi dan penyelidikan,” katanya.

KPSK bekerjasama dengan FDAM dalam memberi nilai tambah dan melonjak perkongsian kepakaran antara kedua-dua pihak dalam memapankan industri kreatif negara. (Foto: KPSK)

Selaras Pelan Strategik UiTM 2025, MoU dengan pemain industri kreatif tempatan menggariskan empat objektif utama yang ingin dicapai kedua pihak iaitu menyediakan peluang program sangkutan profesional dan industri untuk pelajar dan juga staf; menyediakan ruang bagi pembangunan kerjaya dalam industri seni kreatif kepada pelajar dan staf; penglibatan dalam program penyelidikan, penulisan juga penerbitan bersama dalam kalangan staf dan pelajar serta berkolaborasi dalam sebarang aktiviti mana-mana bidang yang berkaitan dari masa ke semasa berdasarkan persetujuan bersama kedua pihak.

“KPSK akan menyediakan pelbagai saluran platform hubungan pintar bagi memastikan objektif-objektif utama ini tercapai dalam tempoh yangb dirancang. Dengan kerjasama dan kolaborasi menerusi MoU ini, kedua pihak akan dapat memanfaatkan idea dan peluang baru yang boleh diketengahkan dalam industri kreatif Malaysia selain daripada menyediakan pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti kepada pelajar KPSK,” katanya.

Elrafaei menyampaikan ucapan bagi pihak FDAM. (Foto: KPSK)

Elrafaei dalam ucapan ringkas sebelum sesi tanda tangan MoU berkata, hubungan terjalin antara FDAM dengan Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) yang kini dibawah KPSK begitu lama dan cukup akrab.

“FDAM sendiri mempunyai seramai 1,500 ahli terdiri daripada kategori ahli A, AB dan Amatur. Ramai ahli yang aktif di lapangan dan ini memberi peluang pada pelajar KPSK untuk menjalani latihan industri. Kami di pihak FDAM juga berharap kerjasama ini tidak hanya di sini tetapi diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

FDAM menawarkan kepakaran dalam bidang pegarahan filem menerusi kursus dan latihan industri kepada pelajar-pelajar KPSK. (Foto: KPSK)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *