FDAM cadang KKMM perkemas hala tuju FINAS, kepimpinan harus dirombak
2 min read
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa komited merangka hala tuju kementeriannya supaya lebih proaktif.
Jelasnya, beliau mahu kerangka tersebut dapat menyumbang kepada kemakmuran negara supaya seluruh Keluarga Malaysia memperolehi manfaatnya.
Beliau menyatakan komitmen itu selepas dilantik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. (Baca lagi: “There’s no time to waste” – Annuar Musa terus bekerja selepas diumumkan sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia baharu)
Begitu juga, fokus yang sama iaitu mengenai hala tuju industri kreatif menjadi cadangan yang dikemukakan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) kepada Annuar.
Dalam satu kenyataan media persatuan itu, FDAM mengharapkan Annuar bersama Timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin turut memperkemas hala tuju Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan wawasan dan pendekatan baru yang lebih dinamik.
Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, sebagaimana isu ramai penggiat seni daif ketika ini kerana tidak dapat bekerja akibat sektor penggambaran tidak dibuka sepenuhnya, FDAM berharap nasib penggiat seni dapat diberi perhatian segera agar golongan ini kembali bekerja.
“Bagi mencapai matlamat tersebut, perbincangan dengan persatuan-persatuan seni kreatif perlu diadakan sebelum dasar-dasar baru dilaksanakan.
“FDAM berpandangan kepimpinan FINAS harus dirombak dengan meletakkan individu yang lebih berkebolehan sebagai Ahli Lembaga Pengarah (BOD). Jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pula perlu dikembalikan kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Sebagai makluman kepada Menteri dan Timbalan Menteri, peranan persatuan-persatuan seni kreatif ini adalah teras pembangunan industri perfileman di mana FDAM, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) perlu diperkasakan.
“Wakil persatuan seni kreatif perlu dilantik dalam BOD FINAS. Calon-calon BOD mestilah individu yang tiada kepentingan perniagaan yang berkaitan perfileman,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada Annuar dan Zahidi sebagai teraju KKMM.
Mat London menambah, menerusi perubahan dan rombakan di FINAS ini diharap ia dapat membantu pembangunan industri kreatif dengan lebih berdaya saing dan membawa Malaysia gah di persada perfileman antarabangsa.
- Kafebuzz.my

