FDAM buka ruang timba ilmu bersama Ali Zolfaghari
2 min read
Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) kembali menganjurkan program bertaraf antarabangsa menerusi ‘reaching out’ apabila kali ini menampilkan produser filem dari Iran iaitu Ali Zolfaghari.
Program anjuran FDAM di bawah Biro Perhubungan Antarabangsa ini bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membawa tema ‘Cabaran pembikinan filem dan jangkaan budaya’.
FDAM dalam satu kenyataan memberitahu berikutan penularan pandemik COVID-19, program ini turut berlangsung secara dalam talian menerusi platform digital di Facebook FDAM dan YouTube FDAM Official pada 28 Mac 2021 jam 3 petang yang disiarkan secara langsung.

Ali yang dikenali sebagai aktor suara latar, produser dan pengedar kandungan yang berkolaborasi dengan program TV dalam bahasa Parsi mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang media dan pasaran hiburan.
“Dia mempunyai kemampuan dalam menjual portfolio pelanggannya menjadi suatu yang produktif dan memberi keputusan jangka panjang. Pengalamannya bekerjasama dengan stesen TV, syarikat produksi dan agensi media termasuk menunjukkan prestasi yang baik dengan produser dan pengarah terkenal memberikan kelebihan pada dirinya untuk menyediakan khidmat rundingan kepada kerjasama antarabangsa.
“Apa yang menarik untuk dikongsi mengenai Ali yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dan Sarjana Sains Perniagaan, dia seorang yang pakar dalam memujuk dan mempengaruhi individu berpengaruh. Selain pengalaman luas dalam bidang penerbitan TV merangkumi pelbagai program TV seperti komersial, bersiri dan filem cereka, dia juga mempunyai minat dalam muzik apabila menjadi pengasas bersama kumpulan rock Iran iaitu Azhrock selama 7 tahun.
“Ali pernah bekerja sebagai Pengarah di General Entertainment and Media (GEM TV) dan kini mempunyai perancangan mengarah pelbagai filem multinasional pada tahun 2021. Dia berhasrat menggabungkan pelbagai budaya untuk menghubungkan audiens,” katanya.
Sudah tentu, kehadiran Ali dalam program FDAM ini dapat berkongsi ilmu dan pengetahuan pada khalayak khususnya penggiat seni dan ahli FDAM memahami konsep penerbitan program TV di luar negara dan pemasaran antarabangsa.
Program ini akan dikendalikan Kamil Khan selaku moderator.
- Kafebuzz.my

