02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

FDAM bantu 600 penerima vaksin COVID-19, harap ramai ahli korporat dan GLC sumbang bakul makanan untuk program ResQ Anak Seni

3 min read

Ketika ini vaksin mendapat permintaan tinggi.

Semua orang mahu segera mendapatkan suntikan vaksin untuk ketahanan badan melawan pandemik COVID-19. Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menerusi Biro Kesejahteraan Sosial tampil mengambil inisiatif mengumpul nama ahli mereka yang belum mendapat tarikh suntikan vaksin agar diberi peluang untuk dicucuk.

Menariknya, usaha bersungguh-sungguh FDAM yang diketuai Presidennya, Dr Ahmad Ibrahim atau Mat London ini turut membuka peluang mendapatkan vaksin ini kepada kru produksi termasuk pelakon.

Sejak 19 hingga 23 Julai lalu, seramai 600 penerima vaksin anjuran FDAM sudah selesai mendapatkan vaksin. Dari jumlah penerima vaksin tersebut, ia merujuk ahli FDAM seramai 267 ahli manakala selebihnya iaitu 333 orang terdiri daripada kru, pelakon dan pelakon tambahan.

Timbalan Presiden FDAM, Datuk Zulkifli M. Osman antara penerima vaksin yang mendaftar di bawah program FDAM.

Lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pula adalah AXIATA Arena Bukit Jalil seraami 300 penerima vaksin Pfizer, Dewan Tanjung MBSA Seksyen 19 Shah Alam (150 penerima vaksin Pfizer), IDDC Shah Alam (50 penerima vaksin Pfizer), Hospital Pakar Al-Islam Kg Baru (50 penerima vaksin Pfizer) dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (50 penerima vaksin SINOVAC).

FDAM sebelum ini menyatakan berita gembira buat ahlinya apabila berjaya mendapat ruang untuk suntikan vaksin secara berkelompok.

Dr Ahmad Ibrahim berharap ahli FDAM dan penggiat industri kreatif mendapat suntikan vaksin sebelum turun ke lokasi penggambaran.

Mat London berkata, FDAM menyasarkan seratus peratus pengarah dan penggiat seni yang bekerja di lapangan mengambil peluang untuk terbabit dalam program vaksin ini dan nama penerima vaksin tersebut akan dihantar terus kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Peluang ini turut terbuka pada pasangan (suami/isteri) dan anak berusia 18 tahun ke atas sahaja. Hanya untuk ahli yang menetap dan mendaftar di Lembah Klang,” katanya ketika program ResQ Anak Seni di pekarangan pejabat FDAM di Dewa Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Prihatin nasib anak seni

Dalam pada itu, FDAM tampil mengagihkan bakul makanan kepada penggiat industri kreatif menerusi program ResQ Anak Seni.

Mat London berkata, bantuan berkenaan diagihkan kepada ahli FDAM dan persatuan lain merangkumi pengarah, penerbit, kru produksi, pelakon dan penyanyi selain golongan yang sering terpinggir seperti pelakon tambahan, penari, kru teater dan buskers.

“FDAM merupakan wakil kepada semua pengarah filem. Pemberian sumbangan ini adalah atas rasa tanggungjawab sebagai seorang pengarah terhadap pengorbanan anak seni di belakang tabir yang banyak berjasa pada seorang pengarah.

“Mereka adalah anak buah pengarah ketika di lapangan dan kita harus hargai jasa-jasa mereka kerana tanpa mereka siapalah pengarah. Senang mereka senang pengarah, susah mereka susah pengarah,” katanya.

Menurutnya, agihan fasa pertama meliputi Lembah Kelang iaitu zon Puchong, Keramat AU2, Setapak, Taman Melawati diikuti oleh Nilai dan Seremban manakala fasa kedua akan diperluaskan ke zon lain termasuk Sabah dan Sarawak. Sebanyak 1,683 kotak jumlah bakul makanan sudah diagihkan kepada penerima-penerima.

Semua bantuan tersebut disumbangkan oleh Yayasan Maghrifah, Yayasan FELDA, GISB Holdings Sdn Bhd, Intelek Muda Nasional dengan Kerjasama Pertubuhan Amal Global Care; Jihad Anak Seni; Laguna by Sofia dengan Kerjasama Pertubuhan Ummah Nusantara Malaysia; Koperasi An-Najah; Intelspeed Sdn Bhd dan Bob Auto Puchong.

“FDAM juga mengharapkan lebih ramai pihak sama ada ahli korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil membantu dalam menghulurkan sumbangan untuk bakul makanan ini diteruskan selepas ini,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *