02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

FDAM bakal wujud akademi perfileman dan perkampungan filem seperti Jalan Ampas

2 min read

Apakah masa depan industri perfileman 10 tahun akan datang?

Apakah ketika itu filem tempatan sudah mampu menyaingi standard filem antarabangsa lain dan mungkin menang anugerah Oscar? Apakah perancangan kerajaan di peringkat kementerian dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk membantu penggiat seni?

Bagaimana pula nasib pekerja industri khususnya graduan perfileman yang masih terpinga-pinga mencari kerja. Banyak sebenarnya persoalan pada isu industri perfileman yang masih belum terjawab hingga kini.

Dalam mencari jalan penyelesaian kepada segala isu tersebut, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mengambil inisiatif mewujudkan peluang baharu kepada penggiat seni khususnya generasi muda untuk meraih platform terbaik pada masa hadapan.

Presidennya, Dr Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, FDAM mempunyai perancangan strategik untuk ahli dan penggiat seni antaranya bakal mewujudkan pusat akademi sendiri yang melatih pelajar dalam bidang perfileman dan industri kreatif.

“FDAM ada banyak kolaborasi antaranya mewujudkan Point FDAM College. Kami mempunyai program ‘outreach’ iaitu tawaran biasiswa daripada beberapa yayasan dan menariknya, kursus yang ditawarkan merangkumi semua bidang dalam industri perfileman seperti pengarahan, kamera, lakonan, penulisan, penyiaran dan kewartawanan.

“Kami akan membuat pentauliahan sendiri daripada Agensi Pentauliahan Malaysia (MQA) dan pengambilan pertama dari peringkat diploma,” katanya kepada Kafebuzz.

Dr Ahmad Ibrahim (duduk kiri) menanda tangan dokumen perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara FDAM dengan Point College, baru-baru ini.

Jelasnya, FDAM juga akan memperkenalkan saluran YouTube dan TV sendiri selain mewujudkan Yayasan FDAM yang bermatlamat membantu ahli dan penggiat seni tempatan.

“Menerusi Yayasan FDAM, kami berhasrat untuk mewujudkan perkampungan filem seperti mana studio di Jalan Ampas, Singapura yang memberi ruang pada penggambaran filem dan drama yang bersifat fleksibel pada penggiat seni menggunakan kemudahan tersebut selain teknologi imej janaan komputer (CGI).

“Seterusnya, FDAM merancang untuk menganjurkan projek Filem Pendek ASEAN di mana seluruh negara Asia bertanding dengan hasrat melahirkan modal insan pada masa akan datang,” katanya.

Tambah Mat London yang turut popular menerusi watak Pak Karim dalam drama bersiri, Kampong Pisang Bersiri-Siri, peluang karya Malaysia bersaing dengan filem luar dari negara Asia sendiri sangat penting dalam mewujudkan suatu penanda aras pada kualiti karya tempatan.

“Bila lawan negara ASEAN, kita nak tengok macam mana. Kita cuba mencipta ‘benchmark’ Malaysia dan ia perlu dicipta dari sekarang.

“Begitu juga masa depan graduan yang dianggarkan lebih 8,000 setahun dari bidang perfileman, ke mana arah tuju mereka selepas ini,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *