FDAM akan perkenal buku etika pengarahan, tingkat profesionalisme pengarah filem
2 min read
Banyak kes membabitkan pengarah filem berlaku.
Pengarah menjadi mangsa ditipu produser tanpa perjanjian kontrak kerja yang sepatutnya, tidak dibayar jumlah gaji yang dijanjikan, terpaksa bekerja lebih 12 jam akibat jadual penggambaran yang padat dan paling menyedihkan apabila dibayar gaji rendah hingga ada pengarah sanggup terima tawaran tersebut sebab nak cari makan.
Dalam mencari suatu jalan penyelesaian yang efektif dan menyelamatkan masa depan pengarah tempatan, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mengambil langkah mahu memperkenalkan etika pengarahan sebagai rujukan semua pengarah.

Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim berkata, perancangan menyiapkan etika pengarahan ini sedang diusahakan dan diteliti sebelum diberikan kepada semua pengarah.
“FDAM akan mewujudkan kod etika pengarahan filem dalam bentuk buku dan ia akan diagihkan kepada ahli-ahli FDAM. Etika pengarahan ini juga penting bukan saja sebagai rujukan pada semua pengarah tetapi kepada produser agar lebih faham profesion pengarah,” katanya pada Mesyuarat Agung Khas (EGM) FDAM yang diadakan di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang, Selangor, semalam.

Tambahnya, buku etika pengarahan ini suatu yang penting untuk diterbitkan bagi meningkatkan tahap profesionalime pengarah ketika bekerja di lapangan termasuk aspek ketika menerima sesuatu tawaran kontrak kerja daripada produser.
“Semua perkara membabitkan etika pengarahan akan dinyatakan. Begitu juga bagaimana seorang pengarah itu menyatakan komitmen untuk bekerja dari mula sebelum penggambaran hingga produk itu siap sepenuhnya,” katanya.

Pada EGM tersebut, FDAM membincangkan beberapa perkara untuk pindaan pada Perlembagaan FDAM yang akan dihantar semula ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Antara perkara penting yang dibincangkan ialah kategori pengarah sebagai ahli FDAM dan penggunaan logo serta nama persatuan iaitu Persatuan Pengarah Filem Malaysia.
- Kafebuzz.my

