e-Jurnal Kewartawanan Malaysian Press Institute bakal dilancarkan sempena HKM2024 MPI-PETRONAS
2 min read
Acara berprestij meraikan pengamal media iaitu Malam Wartawan Malaysia 2025/Hadiah Kewartawanan Malaysia 2024 MPI-PETRONAS dijangka berlangsung malam esok.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Haji Ainol Amriz Ismail berkata, kemuncak anugerah dan sambutan ini turut dihadiri tetamu kehormat iaitu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersama-sama pengurusan kanan PETRONAS selaku penaja utama acara tersebut.
“Majlis yang diadakan pada tahun ini diberi nilai tambah dengan MPI mengadakan pameran di laluan utama menuju dewan acara.
“Pameran itu memaparkan sejarah MPI dan Hadiah Kewartawanan Malaysia untuk mengimbau Kembali detik bersejarah dan peranan MPI menjulang karya wartawan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Ainol Amriz yang juga Pengerusi Bersama majlis itu memberitahu, selain menyaksikan wartawan dan pengamal media dinobatkan sebagai pemenang bagi 23 kategori yang dipertandingkan, ia juga akan menyaksikan pelancaran e-Jurnal Kewartawanan Malaysia Press Institute oleh Dr Zambry.
“Penerbitan e-Jurnal ini merupakan satu lagi usaha MPI dalam memperkasakan penulisan ilmiah dalam kalangan wartawan terutama dalam aspek kajian berkaitan kewartawanan, media dan komunikasi,” katanya.
Bagi anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2024, semua pemenang emas akan membawa pulang sebuah trofi, sijil dan wang tunai. Hadiah tajaan PETRONAS dengan nilai keseluruhan RM450,000.
Pada tahun ini, MPI menerima sebanyak 549 penyertaan daripada 58 organisasi media dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak membuktikan peningkatan kesungguhan serta minat terhadap penghasilan karya kewartawanan berkualiti tinggi dan berimpak besar. Sementara itu, MPI turut menerima pencalonan bagi tiga kategori yang mengiktiraf sumbangan wartawan sepanjang kerjaya.
Pada majlis ini juga MPI akan mengadakan kempen menyokong wartawan berintegriti dan beretika dengan menurunkan tandatangan pada paparan kanvas yang disediakan.
“Saya mengalu-alukan semua yang hadir bersama-sama menyokong kempen ini dan menurunkan tandatangan masing-masing sebelum memasuki dewan acara. Kita bersolidariti dalam menyokong wartawan berintegriti dan beretika,” katanya.
Senarai Lima Penyertaan Tertinggi untuk Hadiah Kewartawanan Malaysia 2024 MPI-PETRONAS 2024 boleh diakses menerusi pautan mpi.my/wp/award/top-5-hkm-2025.
Malam Wartawan Malaysia 2025 akan diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur dimeriahkan dengan persembahan artis popular iaitu Black Hanifah dan Ernie Zakri termasuk ikon muzik tradisional SAPE, Anderson Kalang.
Majlis anugerah ini juga boleh ditonton menerusi media sosial rasmi MPI di platform Facebook dan TikTok.
- Kafebuzz.my

